Menurut pelakon dan juga tukang jahit baju Melayu popular itu, dia hanya menyedari penipuan tersebut pada hari ketiga selepas tidak dibenarkan tinggal di hotel yang disewa ekoran tidak membuat sebarang pembayaran.


“Penipu ini sebenarnya adalah orang tengah yang menghubungkan kami dengan Arba Travel yang menguruskan percutian kami.


“Semua duit sudah dibayar kepadanya tetapi dia ‘songlap’ kesemuanya dan tidak memberikan wang itu kepada pihak Arba Travel,” jelas Den Wahab.


Terdahulu, Den Wahab, pengarah drama dan filem Aziz M. Osman bersama-sama 15 lagi orang yang ditipu telah membuat laporan polis terhadap individu itu di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


Tambah Den, jika penipu tersebut tidak memulangkan duit mereka semula, dia tidak teragak-agak untuk mendedahkan identitinya kepada umum.


“Bayangkan saya dan 22 orang lain yang mengikuti percutian ini terpaksa mencari penginapan sendiri secara mengejut selepas sedar ditipu.


“Mujur pihak Arba Travel mengambil tanggungjawab untuk meneruskan percutian kami dan menanggung semua perbelanjaan di sana,” jelasnya.


Ini bukan kali pertama penipuan ini berlaku dan menurut Den, ada beberapa lagi pihak yang turut ditipu dengan menggunakan modus operandi yang sama.


Kerugian yang ditanggung Den dan ahli rombongan lain berjumlah RM100,000 manakala Arba Travel pula mengeluarkan belanja sebanyak RM50,000 untuk menanggung percutian itu. - UTUSAN ONLINE