Bagi Awie meskipun kemelut yang melanda dirinya dengan isteri, Rozana Misbun semakin meruncing, dia tidak pernah menjadikan itu sebagai masalah utama dalam memberikan persembahan terbaik untuk konsert tersebut.

Bagaimanapun Awie tidak menafikan yang isu hak penjagaan anak sementara yang diterima oleh Rozana pada 27 Januari lalu memberikan kesan kepadanya sehingga ke hari ini.

Mengikut keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, Awie hanya diberikan hak melawat selama dua jam, dua kali sebulan iaitu pada Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana.

Awie juga dilarang daripada mengambil atau mengganggu anak-anak di kediaman mereka tinggal, di sekolah atau di mana-mana tempat melainkan yang dibenarkan oleh mahkamah.

Melalui perkahwinan tersebut Awie dan Rozana dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan, Awie tidak menafikan sehingga tarikh 31 Januari lalu, dia masih belum menerima sebarang surat daripada pihak Rozana mengenai keputusan mahkamah tersebut.

“Memang saya akan berjuang sehingga titisan darah yang terakhir. Kalau sampai akhir hayat terpaksa berkorban, saya sanggup demi anak-anak.

“Kalau sampai ke peringkat tertinggi sekalipun, saya tetap akan pergi demi anak-anak. Itu sahaja yang mampu saya janjikan asalkan kesemua anak-anak ada bersama-sama saya,” tegas Awie ketika ditemui sebaik sahaja tamat konsert tersebut.

Sejak kes rumah tangga mereka dibicarakan di mahkamah, satu persatu hal dalam kain pasangan ini mula didedahkan yang akhirnya memberikan aib kepada mereka berdua.

Mengakui dia menyedari tentang perkara berkenaan, bagaimanapun yang dikesalkan Awie adalah apabila pihak Rozana meminta agar dirinya menyelesaikan kemelut yang melanda mereka secara baik tanpa perlu mendedahkan perkara yang boleh menjejaskan air muka masing-masing.

“Seingat saya sejak dulu lagi saya sudah meminta dia menyelesaikan perkara ini secara baik. Tapi tak mendapat sambutan pihak berkenaan, saya tak tahu kenapa. Sekarang apabila semuanya mula didedahkan, mengapa dia takut pula?

“Saya tak faham mengapa dia terlalu takut apabila saya member kenyataan kepada media. Agaknya dia takut saya akan bongkarkan segala-galanya,” kata Awie sinis.

Mengulas mengenai emosi anak-anak, Awie tidak menafikan yang mereka masih belum mengetahui tentang keputusan hak penjagaan yang berpihak Rozana.

Malah menyifatkan kesemua anak-anak gembira berada di sisinya dan mereka sentiasa ada bersama-sama setiap masa meskipun dia terpaksa keluar daerah memenuhi undangan nyanyian dan kerja lain.

“Memang kami sama-sama gembira saat ini. Cuba bayangkan kalau saya tidak ada bersama-sama mereka. Saya anggap saya akan gagal dalam hidup,” katanya.

Tegas Awie, dia dan peguam yang mewakili dia tetap akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan melainkan Rozana memulangkan kembali hak anak-anak yang telah diambil tanpa kebenaran sejak kemelut rumah tangga mereka diperkatakan umum.

“Dia kena pulangkan kembali duit anak-anak. Jangankan duit raya anak, duit pembantu rumah pun lesap. Itu permintaan saya secara baik yang saya minta selama ini.

“Kalau dia pulangkan kembali wang tersebut, saya akan lepaskan (cerai) dia secara baik. Berapa talak dia nak? Saya akan beri!

“Saya minta dia jangan lari daripada masalah. Itu masalah utama dan dia kena hadapinya. Jangan ingat dia tak buat salah dan tak berdosa. Dia datang dari mana?” kata Awie lagi.

Takluk Melaka

MENGENEPIKAN seketika isu peribadi yang melanda vokalis kumpulan Wings itu, sebenarnya anggota kumpulan yang lain mampu mengukir senyuman tatkala melihat lebih 6,000 peminat mereka memenuhi dewan pada malam tersebut.

Jumlah tersebut jauh lebih besar daripada kehadiran penonton di Seberang Jaya, Pulau Pinang penghujung Disember lalu.

Malam itu Awie, Joe, Eddie dan Black membuktikan yang mereka masih lagi ampuh di atas pentas dengan memainkan lagu baharu dan lama lebih dua jam untuk peminat di selatan tanah air.

Selain bertujuan untuk mengadakan siri jelajah selepas 14 tahun tidak berbuat demikian, Wings juga sebenarnya mahu mempromosikan album Menakluk Kosmos secara lebih agresif.

Pun begitu, cabaran utama tatkala menggunakan lokasi tertutup seperti di MITC ini sudah pasti tertumpu kepada sistem penataan bunyi yang menjadi elemen terpenting dalam sesebuah konsert.

Kali ini sistem penataan bunyi Konsert Menakluk Kosmos kurang menyerlah jika dibandingkan di Seberang Jaya. Namun perkara berkenaan tidak langsung menjadi masalah besar kepada peminat Wings.

Bagi mereka kehebatan Wings di atas pentas tidak boleh dipertikaikan meskipun lebih banyak mendendangkan lagu baharu yang termuat dalam album Menakluk Kosmos yang dilancarkan pertengahan tahun lalu.

Malam itu antara lagu yang diperdengarkan kepada peminat termasuk Sayap Ilusi, Bisa Yang Tertunda, Ingatkan Dia, Peti Pandora Mu, Raja Segala Duri dan Penanti.

Turut dinyanyikan termasuk lagu Komplikasi Pramaya, Kota Kemusnahan, Amaringgo, Opera Hidup, Ranggi Metropolis dan rangkaian lagu lama seperti Taman Rashidah Utama yang menggamit memori.

Bertambah manis apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Ali Rustam turut hadir memberi sokongan kepada kumpulan tersebut.

Selepas Pulau Pinang dan Melaka, Wings bakal menjelajah ke Terengganu pula pada April hadapan. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari www.sayap2wings.com.