Yang berlaku kepada Ameng, Zamani dan adik kandungnya, Jamilul Hayat membuatkan Raja pop itu berasakan perlu melakukan sesuatu bagi membantu mereka.

“Kami manusia yang berhak untuk dimaafkan dan pastinya semua sedar perkara berkenaan. Sebab itu saya terpanggil untuk melakukan Konsert 3 Suara yang menggabungkan saya, Ameng, Zamani dan penampilan istimewa Jamilul Hayat.

“Platform sudah tersedia buat mereka. Saya hanya membuka ruang dan jalan selebihnya terletak kepada diri masing-masing. Jangan sia-siakan peluang yang terbuka luas ini,” kata Jamal memberikan semangat kepada yang lain.

Tambah Jamal, yang berlaku kepada Ameng dan Zamani sejak beberapa tahun lalu seharusnya memberikan pengalaman dan pengajaran buat mereka. Masing-masing sudah melalui beberapa perkara dalam hidup dan masyarakat masih boleh menerima.

Tentu sekali peluang yang ada tidak harus disia-siakan dan masing-masing harus memacu diri ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

Bercerita mengenai idea, Jamal sudah merancang untuk menggabungkan mereka sejak awal tahun yang lalu. Hasrat tersebut telah disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri (KDN).

Melalui perbincangan awal, konsert ini sepatutnya dilangsungkan pada Mac lalu, ketika Ameng masih berada di dalam penjara. Namun kerana memikirkan soal keselamatan dan bimbang isu Ameng akan dipolitikkan membuatkan Jamal menangguhkan seketika perancangan tersebut.

“Kalau memikirkan keuntungan semata-mata baik saya buat konsert solo sahaja. Tapi saya fikir biarlah kali ini mereka ada bersama-sama. Saya mahu bantu mereka bangkit dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Paling mengujakan tentunya projek ini turut mendapat sokongan KDN yang bersungguh-sungguh mahu membantu mereka untuk pulih dari masalah. Ini yang membuatkan saya bersemangat untuk menjayakan konsert ini,” jelas Jamal lagi.

Semangat

BAGI Ameng, dia sudah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal menjelang Konsert 3 Suara. Enggan lagi menoleh ke belakang, Ameng mahu membuktikan yang orang sepertinya mampu melakukan seandainya diberikan peluang.

“Sebenarnya ketika berada di dalam penjara lagi saya sudah mendengar ura-ura konsert ini. Tentunya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi memandangkan perkara tersebut masih samar-samar dan tidak mahu terlalu berharap kerana bimbang dipermain-mainkan.

“Tapi apabila Jamal sendiri ke penjara dan menyampaikan hasrat tersebut awal tahun, saya terkejut dan tak percaya. Mengalir air mata saya apabila legenda seperti Jamal sanggup datang bertemu saya di sana.

“Ini kebesaran Tuhan. Berada di dalam penjara dan orang memberikan tawaran besar. Rasanya perkara ini jarang sekali berlaku kepada insan seperti saya,” cerita Ameng.

Meskipun sudah lama tidak tampil dengan konsert berskala besar begini, bapa kepada tiga cahaya mata ini tidak mengetepikan debaran dan ketakutan demi memberikan yang terbaik untuk khalayak.

Pengalaman lebih dua dekad menyanyi dijadikan sandaran terbesar untuk tampil menghiburkan peminat.

Tambah penyanyi yang dikenali dengan lagi Sampai Hati ini lagi, dia sudah memilih rangkaian lagu-lagu terbaik yang bakal dinyanyikan sepanjang konsert berlangsung dan janjinya, ada kejutan yang bakal dilakukan nanti.

Buat masa ini Ameng banyak memberikan tumpuan untuk meningkatkan stamina dengan melakukan joging setiap hari dan ke gimnasium bagi memantapkan lagi fizikal menjelang hari konsert.

“Saya tak mahu nampak gemuk dan selekeh sepanjang konsert itu. Sebagai penyanyi perkara-perkara begini perlu diambil kira memandangkan orang membayar untuk menyaksikan persembahan saya.

“Selain perlu memantapkan vokal, penampilan juga perlu diutamakan kerana kerjaya sebagai penyanyi memerlukan pakej yang lengkap,” katanya yang turut mendapat tajaan sut lengkap daripada Taufik & Tailor yang terletak di Ampang, Selangor.

Selain Ameng, Jamal, Jamilul dan Zamani juga akan mengenakan sut eksklusif rekaan Datuk Taufik Nong dengan jumlah keseluruhan mencecah puluhan ribu ringgit.

Harapan

BERLAINAN dengan Jamal, Ameng dan Zamani yang mempunyai nama besar dalam industri, Jamilul pula lebih banyak ‘menyorok’ sejak dahulu.

Meskipun publisiti berkurangan, dia tetap mempunyai peminat tersendiri apatah lagi lagu Mawar Putih Tanda Perpisahan dan Gelora Jiwa kekal diminati sehingga hari ini.

“Sebenarnya sudah 16 tahun saya tidak menyanyi dan pastinya peluang ini akan digunakan sebaik-baiknya. Tentu sekali saya mahu mengalungkan ucapan terima kasih buat Jamal yang memberikan ruang kepada saya.

“Orang pernah ingat saya sudah mati namun dengan peluang ini saya mahu buktikan yang saya masih ada di dalam industri dan masih mampu menyanyi,” katanya.

Tambah penyanyi ini lagi, dia mengharapkan kemunculan pada Konsert 3 Suara ini sebagai permulaan semula kerjaya seninya yang sudah berkurangan sejak 16 tahun yang lalu.

Tidak merancang hal-hal yang besar, Jamilul mahu kembali kepada peminat dan terus menghiburkan mereka dengan lagu-lagu yang dimilikinya.

Bagi Jamal pula, dia mengakui tidak pernah memberikan peluang kepada adiknya selama ini. Namun kerana ramai peminat yang sering bertanyakan ke mana hilangnya Jamilul membuatkan dia mengambil keputusan untuk memberikan ruang ini kepada Jamilul.

“Jagalah peluang ini sebaik mungkin. Saya yakin dia mampu berjaya pada masa depan memandangkan saya sendiri pernah melaluinya. Yang paling penting dia mesti bangkit daripada kesusahan dan memperbetulkan kesilapan,” kata Jamal menitipkan kata-kata azimat buat Jamilul.

Menariknya, keuntungan daripada setiap penjualan tiket akan diberikan kepada Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan beberapa yayasan lain sebagai tanda sokongan penganjur, BinJamal Event Sdn. Bhd. kepada pihak terbabit.

Bagi mereka yang ingin turut serta, tiket-tiket dijual dengan harga RM108, RM158, RM258, RM358 dan RM458 atau layari www.ilassotickets.com untuk pembelian secara atas talian.