Berkata kepada Utusan Online, Nazim memberitahu, watak Johan menuntutnya untuk kelihatan segak serta bergaya sepanjang masa dan disebabkan itu dia tidak kisah membelanjakan wang ringgit sendiri.

“Selama 10 tahun bergelar pelakon, rasanya ramai yang tahu saya memang seorang yang jenis menitikberatkan tentang pembentukan sesuatu karakter atau watak menerusi gaya pemakaian.

“Kalau dicomotkan sekalipun untuk mendukung watak pengemis atau seumpamanya, saya tidak mempunyai masalah.

“Malah, saya tidak benarkan sesiapa sentuh kulit wajah untuk mengenakan solekan kerana saya lebih gemar melakukannya sendiri,” katanya.

Nazim berkata demikian ketika hadir ke sidang akhbar pelancaran drama Monalisa yang diadakan di Pullman Putrajaya Lakeside, di sini semalam.

Selain Nazim, drama sebanyak 80 episod terbitan Radius One itu turut dibintangi Zara Zya, Mona Allen dan Hafreez Adam.

Tambah Nazim, setiap sepasang sut yang dibeli atau ditempah bernilai tidak kurang RM200.

“Dalam koleksi saya memang dah ada lebih 20 pasang sut. Ada sekali tu sewaktu penggambaran Monalisa berehat beberapa hari, saya terbang ke Vietnam untuk menempah sut baharu.

“Bagi saya, menjadi pelakon, pengorbanan seperti ini adalah salah satu komitmen. Jangan takut untuk berbelanja demi jangka hayat yang lama dalam industri,” katanya. - UTUSAN ONLINE