Berpeluang bertemu dengan wanita berusia 58 tahun ini, Pancaindera dapat berkongsi perjalanan hidupnya dari dahulu hingga sekarang. Mengakui meminati seni sejak dari kecil lagi, bakat anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini bagaimanapun mula dihidu oleh bapanya sejak umurnya enam tahun.

“Ayah merupakan seorang ahli muzik di Radio Televisyen Malaysia (RTM), apabila dia nampak saya suka menyanyi, dia jadi seronok dan sering membawa saya bersamanya mengadakan persembahan muzik di merata tempat. Malah setiap minggu juga ayah turut membawa saya ke Bukit Bintang Park, Kuala Lumpur untuk melihat joget lambak.

“Dulu kawasan tersebut memang menjadi tumpuan ramai artis popular yang kebanyakannya menjadi penari joget di sana. Dengan harga tiket 25 sen waktu itu, terasa puas dapat melihat persembahan mereka. Saya dikira beruntung dapat ikut ayah kerana di antara adik-beradik yang lain, sayalah yang paling manja.

“Bermula daripada situlah juga sedikit demi sedikit minat saya dalam bidang ini tumbuh tetapi kalau nak diikutkan memang ahli keluarga kami juga banyak terlibat dalam seni antaranya sepupu saya pelakon Rosmawati Baba. Minat tersebut juga terbawa-bawa sehingga masuk sekolah,” ujar pelakon kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini lagi.

Ketika bersekolah di Ampang Road Girls School, dia sering memasuki pertandingan nyanyian dan lakonan yang dianjurkan pihak sekolah. Perasaan seronok berlakon itu terbawa-bawa sehingga berpindah ke Sekolah Convent Jalan Peel, Cheras. Namun ketika berada di sekolah tersebut penglibatannya agak terbatas disebabkan guru-guru di situ agak tegas.

“Saya agak kecewa jugalah sebab tak dapat masuk pertandingan dan sebagainya tetapi disebabkan minat, dalam diam-diam saya memasuki pertandingan Malam Ratu Utusan Malaysia. Tak sangka nasib menyebelahi saya dan berjaya mendapat tempat pertama.

“Masa itu saya fikir penyertaan tersebut tidak dapat dihidu oleh pihak sekolah, namun ternyata sebaliknya apabila dipanggil dan dimarahi oleh guru besar. Rupa-rupanya mereka dapat tahu berita tentang kemenangan itu melalui surat khabar,” ujarnya sambil ketawa.

Setelah selesai menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), dia mula tekad melebarkan kerjayanya dan fokus dengan cita-citanya. Walau bagaimanapun sebelum bergelar pelakon, Rosnah memulakan langkahnya sebagai model dengan menyertai Mahogany Modelling School terlebih dahulu.

“Saya banyak dapat tawaran memperagakan fesyen. Mungkin disebabkan faktor ketinggian saya juga memainkan peranan penting sebab masa itu memang susah nak cari model yang tinggi. Hampir setiap hari saya buat pertunjukan dan pernah juga menjadi model untuk persembahan penyanyi Anita Sarawak.

“Dalam sibuk bergelar model, saya sebenarnya suka menyanyi. Dalam masa yang sama, saya turut menyanyi di kelab bersama Sophia Ibrahim. Namun ibu tidak berapa suka saya menjadi penyanyi berbanding ayah yang lebih terbuka ketika itu,” ujarnya lagi.

Bergelar pelakon

Disebabkan kerjaya sebagai penyanyi tidak begitu disukai oleh ibunya, Rosnah mengambil keputusan untuk terlibat dalam dunia lakonan pula. Ternyata perjalanannya dalam bidang tersebut tidaklah begitu sukar memandangkan dia banyak bergaul dengan rakan-rakan pelakon dan penerbit ketika bergelar model.

“Antara rakan saya adalah pelakon Aida Rahim (kini Aida Khalida). Kami pernah bergelar model tetapi dia lebih awal menjadi pelakon berbanding dahulu. Daripada situ saya ditawar berlakon drama-drama terbitan RTM bermula daripada drama Potrait Pekerti dan kemudiannya menerusi banyak drama yang mengisi slot Drama Minggu Ini sehinggakan tak keterlaluan jika dikatakan wajah saya sering menghiasi televisyen saat itu.

“Bermula daripada drama akhirnya saya ditawarkan untuk berlakon filem pula. Filem pertama lakonan saya berjudul Kisah Seorang Biduan di samping Dahlan Zainuddin. Selepas itu satu demi satu tawaran antaranya Sumber Ilhamku, Ke Medan Jaya dan beberapa lagi,” ujarnya yang pernah dicalonkan sebagai pelakon terbaik pada Anugerah Malam Sri Angkasa.

Berkongsi kenangan manis ketika bergelar pelakon, dia mengakui cukup bertuah kerana dapat mengutip ilmu lakonan daripada pelakon berpengalaman ketika itu seperti Ahmad Mahmud, Noormadiah, Aziz Satar, Mahmud June, Umi Kalthum dan ramai lagi.

“Saya banyak belajar dari mereka cara memahami skrip. Kebanyakan daripada mereka cuma tengok skrip lebih kurang dan fahamkan. Apabila berlakon kadang-kadang mereka tidak ikut skrip yang ditulis tetapi buat skrip sendiri secara spontan namun masih membawa maksud yang sama.

“Masa mula-mula itu saya tak dapat tangkap juga sebab kita jenis hafal, tiba-tiba keluar daripada mulut mereka skrip lain. Namun lama kelamaan saya mula memahami skrip adalah berdasarkan pemahaman sahaja. Banyak pelajaran yang dapat saya kutip tambah pula mereka ini jenis penyabar tak banyak merungut.

“Selain daripada itu ketika terlibat dalam seni, saya juga berpeluang menjadi delegasi Malaysia ke Indonesia. Antara artis yang turut bersama ketika itu adalah Hail Amir dan Zulkifli Zain,” ujar pelakon yang seangkatan dengan Uji Rashid, Noorkumalasari, Normah Damanhuri dan Dian P Ramlee.

Hampir lima tahun mencipta nama dalam bidang seni, pada tahun 1987 dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari bidang lakonan biarpun ketika itu namanya sedang meniti di bibir peminat. Biarpun berat namun semuanya itu dilakukan semata-mata demi anak tersayang.

“Anak kedua saya mengalami masalah kesihatan. Dia memerlukan penjagaan yang rapi dan sebagai ibu saya perlu sentiasa berada di sisinya untuk memantau kesihatan dia dari semasa ke semasa. Tambahan pula ketika itu doktor menjangkakan hayatnya cuma bertahan dua tahun sahaja.

“Hati ibu mana yang tidak sedih apabila mendengar perkara tersebut. Tanpa fikir panjang saya pilih untuk terus berada di sisinya. Namun dalam masa yang sama saya mengambil keputusan untuk menjalankan kerja-kerja di belakang tabir,” ujarnya.

Hampir 10 tahun menghasilkan rancangan televisyen seperti Kuali, Jejak Kasih dan sebagainya untuk siaran televisyen, akhirnya dia memutuskan untuk bersara daripada bidang tersebut apabila anak kesayangannya itu meninggal dunia pada tahun 2007.

“Hampir dua tahun saya trauma kerana kehilangan dia namun saya bersyukur kerana Allah pinjamkan dia lebih daripada tempoh yang dijangka. Setiap kali tibanya bulan Februari, ingatan saya terhadapnya semakin kuat. Biarpun begitu saya reda dengan ketentuan ini,” ujarnya.

Berbicara tentang perkembangan terbarunya, menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, dia kini banyak menghabiskan masa dengan anak-anaknya. Namun dia tidak menolak untuk berlakon jika masih ada watak yang sesuai dengan dirinya.

“Anak-anak suruh saya berehat sahaja di rumah tetapi kadang-kadang bosan juga tiada apa yang nak dibuat. Jika ada tawaran berlakon mungkin saya boleh mempertimbangkannya. Lagipun sudah lama sangat rasanya tak berlakon. Kadang-kadang rasa rindu juga untuk beraksi,” ujar ibu tunggal ini mengakhiri bicara.