Walaupun diumumkan bahawa ia akan mula ditayangkan di seluruh dunia pada 13 Disember lalu, namun orang ramai telah mula beratur untuk mendapatkan tiket dua hari sebelum tiket mula dijual.

Ia menunjukkan bahawa kejayaan filem oleh George Lucas itu mampu memberi impak yang besar kepada dunia filem, seterusnya menjadikan ia sebagai sebuah filem yang mempunyai pengikut teramai di dunia.

Mana tidaknya, walaupun sudah hampir 40 tahun filem itu ditayangkan iaitu pada 1977 menerusi judul Star Wars Episode IV: A New Hope yang merupakan episod keempat jika mengikut susunan filem-filem ini.

Disebabkan filem ini tidak mengikut susunan sejak ia dikeluarkan membuatkan ramai yang menunggu episod yang akan datang bagi mengetahui perkara yang berlaku dalam kalangan watak-wataknya.

Kali ini, episod ketujuh dari siri francais tersebut merupakan filem pertama untuk sequal trilogi filem berkenaan yang dikatakan berlaku 30 tahun selepas Star Wars: Return of The Jedi yang juga merupakan episod keenam ditayangkan pada tahun 1983.

Itulah yang menyebabkan seluruh dunia menantikan kedatangan filem ini, lebih-lebih lagi mereka yang membesar dengan filem-filem Star Wars. Malah ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mendapatkan kostum watak filem berkenaan.

Di Belgium, pertunjukan ukiran ais tahunan yang berlangsung di bandar Leige telah memilih tema berkaitan karektor masa lampau dalam galaksi yang sangat jauh.

Pertunjukan yang dinamakan Festival Ice Magic itu menampilkan pelbagai karektor dari filem Star Wars yang diukir menggunakan ais oleh lebih daripada 30 artis dari 12 buah negara.

Sementara itu, di Los Angelas, Amerika Syarikat telah diadakan pertunjukan ‘pertempuran lightsaber’ iaitu senjata yang digunakan dalam filem tersebut, berbentuk seperti pedang laser.

Pertarungan di antara ‘dark side’ dan ‘light side’ itu diadakan secara suka-suka di Pershing Square. Ia disertai para peminat Star Wars termasuk anak-anak kecil.

Manakala di Manchester, England pula, anak-anak kecil dipakaikan pakaian seperti watak Ewok pada majlis pertemuan peminat-peminat Star Wars yang menggelarkan diri mereka sebagai For The Love of The Force.

Ia menunjukkan bahawa demam Star Wars kini melanda seluruh dunia. Malah ada pawagam sudah menutup tempahan sehingga tahun hadapan kerana sambutan hangat orang ramai terhadap filem ini. – AMIRUL