Namun, untuk lakonan terbaharunya, Lelaki Kiriman Tuhan, perasaan itu berubah. Jiwa Mira seakan-akan kacau kerana harus berhadapan dengan Remy sebagai seorang kekasih pula. Hampir seminggu masa diambil oleh Mira untuk mengatasi perasaan berdebar.

Katanya, debaran itu bukan kerana telah hatinya tertawan dengan pelakon itu, sebaliknya, Mira gusar dan bimbang tidak dapat memberikan lakonan yang setanding dengan pemegang watak Iqbal Raid dalam drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan.

“Biarpun drama terbitan Zeel Production merupakan projek ketiga kami berdua, tapi dalam dua projek sebelum ini kami tidak banyak adegan bersama. Dalam filem Sangkar, Remy berlakon sebagai abang saya dan sudah tentu pendekatannya berbeza.

“Sementara dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan ini pula kami berpasangan sebagai hero dan heroin, sudah pasti saya sangat berdebar. Hampir seminggu saya ambil masa untuk dapatkan keserasian.

"Barangkali, Remy tiada masalah untuk melakonkannya sebab dah biasa,” kongsi Mira mengenai debaran yang dihadapinya sepanjang menjalani penggambaran sejak awal Ogos sebelum berakhir pada hujung September lalu.

Menurut Mira, hanya menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan yang mula disiarkan di saluran Astro Oasis pada setiap hari Isnin, pukul 9 malam, bermula 1 Oktober lalu dia merasakan benar-benar bergandingan dengan Remy.

Di sebalik debaran itu, Mira bagaimanapun, gembira bergandingan dengan Remy kerana pelakon lelaki itu memberikan komitmen yang luar biasa sepanjang di lokasi penggambaran.

“Mungkin pada minggu pertama saja, terasa ada sedikit kekok. Kata orang itu minggu percubaan, masuk minggu kedua semuanya berjalan lancar.

“Saya seronok bekerja dengan produksi Lelaki Kiriman Tuhan kerana kita boleh berbincang dan pengarah juga sentiasa memberi kebebasan kepada pelakon untuk mengutarakan pandangan masing-masing,” ceritanya.

Sedia kerjasama dengan Zizan

KISAH cinta antara Mira Filzah dengan pelakon, pelawak dan penyanyi, Zizan Razak nampaknya sedang berbunga, namun sehingga ke hari ini, tiada sebarang pengakuan rasmi daripada mereka. Baik Mira mahupun Zizan, kedua-duanya lebih senang menggariskan hubungan tersebut sebagai teman rapat tanpa mengakui mereka pasangan kekasih.

Mungkin itu strategi mereka sebagai artis agar tumpuan lebih ditujukan kepada kerjaya seni dan bukannya kisah cinta.

Bagaimanapun, kata Mira, dia tidak kisah jika digandingkan dengan Zizan dalam mana-mana produksi. Sebelum ini mereka pernah bergandingan dalam drama Jula Juli Bintang Cinta dan Jula Juli Putus Cinta.

“Saya tak kisah kalau digandingkan dengan Zizan kerana kami sangat profesional. Sebelum ini kami pernah berlakon dalam dua buah drama. Khabarnya, Jula Juli lakonan kami juga akan dijadikan siri pula selepas telefilem. Setakat ini, belum ada kata putus.

“Selalunya sebelum saya setuju berlakon dalam satu-satu produksi, saya akan tengok siapa pasangan, pengarah dan pelakon lain. Perkara-perkara begini kena ambil berat juga sebab ia mempengaruhi cara kerja kita nanti,” jelasnya.

Malah kata Mira, selepas Lelaki Kiriman Tuhan, dia juga akan sekali lagi berpasangan dengan Remy Ishak untuk slot Akasia, Pujaan Hati Kanda.

Katanya, biarpun pasangan lakonan masih sama, namun dia yakin masyarakat akan tetap menonton kerana jalan cerita yang ditonjolkan berbeza.

Sementara itu, Mira memberitahu, kegemarannya berkunjung ke luar negara disebabkan peranannya sebagai Duta Pelancongan Taiwan.

Khabarnya, menjelang tahun depan, Mira sudah mengatur projek pelancongan ke Taiwan bersama-sama peminatnya.

Terima tawaran sebab naskhah terbaik

TATKALA ditanya kepada Mira apa kriteria yang menyebabkan dia membintangi Lelaki Kiriman Tuhan terbitan Zeel Production itu, jawapan yang terpacul ialah kehebatan naskhah itu menjadi faktor utama.

Menurut Mira, persetujuannya melakonkan watak Naira dalam drama itu juga kerana menyedari penulis novel naskhah itu, Umie Nazimah pernah diangkat sebagai Novelis Terbaik sempena Anugerah Buku Negara 2017.

“Selain diadaptasi daripada novel terbaik, saya juga teruja bila diberitahu yang hero drama ini Remy Ishak.

"Memang sebelum itu saya pernah bekerjasama dengan dia (Remy) dalam produksi lain, tapi yang ini kami banyak adegan bersama.

“Lepas tu, saya diberitahu yang lokasi penggambaran paling jauh pun dekat Sekinchan, Selangor jadi tak ada masalah untuk saya terima.

"Bila sudah setuju baru tahu sebenarnya penggambaran bukan di Sekinchan, tapi di Kedah. Oleh kerana sudah setuju terima tak boleh nak buat apa, kena teruskan juga,” kata Mira berkongsi cerita.

Malah sepanjang hampir dua bulan menjalani penggambaran di sebelah utara termasuk Kedah, Perlis dan Langkawi, Mira terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengacara program Nona.

“ Paling teruk dalam seminggu dua kali saya kena balik Kuala Lumpur. Selalunya saya akan ambil penerbangan seawal pukul 7 pagi dan sebaik selesai kerja di sebelah petang, terbang semula ke lokasi penggambaran.

“Apabila jadual sudah terlalu padat, maka saya mula fikirkan soal kesihatan. Untuk kekalkan stamina dan kesihatan, saya amalkan pengambilan beberapa pil tambahan,” ujar Mira lagi.

Tambah Mira, setiap rezeki yang mendatang, diterima dengan hati terbuka, biarpun sebelum ini dia pernah menyuarakan hasrat untuk memberi perhatian pada bidang pengacaraan.

Jelasnya, dia hanya mampu merancang tetapi Allah yang lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya dan kerana itu, tawaran berlakon terus diterimanya.

“Bila saya kata nak buat pengacaraan saja, tiba-tiba dapat tawaran berlakon. Begitu jugalah, bila saya nak tumpu berlakon, dapat tawaran mengacara. Kedua-duanya sudah menjadi sebahagian daripada kerja dan saya perlu penuhinya,” katanya jujur.