De Fam yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Sophia Liana dan Cik Manggis seolah-olah membawa hala tuju sendiri dengan memfokus kepada kerjaya solo masing-masing.

Menafikan perkara tersebut, Azira Shafinaz, 27, memberitahu Mega HITS yang mereka masih satu kumpulan yang saling setia antara satu sama lain.

“Orang mungkin keliru tentang situasi De Fam kerana kadang-kadang kami hadir dalam satu majlis secara solo. Kumpulan ini jarang tampil bersama-sama pada sebarang majlis kerana kami ada komitmen sendiri.

“Tetapi buat pengetahuan semua, De Fam akan muncul dengan single baharu selepas raya ini. Jadi, dalam tempoh itu kami cuba tidak mendedahkan sangat perihal De Fam sebagai satu strategi,” kata Azira.

Tambahnya, walaupun masing-masing punya komitmen lain yang tidak berkaitan dengan De Fam, tidak pernah terlintas di hati ketiga-tiga mereka untuk mengakhiri kebersamaan masing-masing dengan nama perpecahan.

Malah kesibukan dengan aktiviti seni yang lain tidak pernah mengurangkan keutamaan mereka kepada kumpulan yang terkenal dengan lagu Supergirls ini.

“Misalnya Manggis sibuk berlakon, Sophia pula sibuk dengan projek single dengan Sakura Band dan saya juga dengan lakonan drama dan aktiviti seni lain.

“Apa pun kami tetap mengutamakan De Fam bila tiba masanya dan tidak akan berkompromi dalam hal tersebut. Setakat hari ini, tidak pernah terlintas di hati kami untuk berpecah dan membawa haluan sendiri.

“Masing-masing memahami antara satu sama lain dan selesa dengan yang kami ada dan dilalui. Tapi tidak tahulah pada masa akan datang. Kalau berpecah pun mungkin apabila salah seorang daripada kami ada anak terutama Manggis yang sudah pun berkahwin.

“Cuma selagi mampu bersama-sama dalam satu-satunya kumpulan wanita yang ada di Malaysia ini, kami akan cuba kekal bersatu,” kata Azira.

Bercerita lanjut mengenai single baharu tersebut, kata Azira, kali ini mereka menggunakan produser dari Singapura bagi mencari kelainan.

“Kali ini, kami akan tampil lagu single dengan sepenuhnya berbahasa Melayu. Sengaja kami buat begitu bagi pemasaran yang lebih luas dan terima secara menyeluruh,” kata Azira.

Azira yang sudah punya kekasih hati ini tidak pernah berdepan dengan gosip kurang enak yang melibatkan cerita peribadi.

“Saya sebenarnya tidak pernah menafikan sudah punya teman lelaki dan foto-fotonya boleh dilihat menerusi media sosial Instagram milik saya.

“Cumanya saya tidak menonjolkan dirinya dan tidak juga kerap membawanya ke majlis hiburan. Lagi pun dia tidak berminat untuk mendedahkan dirinya kepada umum. Sesekali sahaja pernah mengikut saya apabila diperlukan.

“Kami sebenarnya sudah berkawan secara serius selama lima tahun. Dia seorang ahli perniagaan, bukan dalam bidang hiburan tetapi memahami kerjaya saya kerana kami menjadikan saling percaya sebagai kunci utama kepada hubungan ini.

“Dalam tempoh berkawan ini sudah pasti saya dan dia pernah merancang untuk mengikatnya dengan ikatan perkahwinan cuma belum dibuat secara rasmi.

“Kalau ikutkan, kami mahu berkahwin pada tahun ini tetapi tertangguh kerana nenek saya baru sahaja meninggal pada Februari lalu. Sekarang ini kami mencari tarikh yang lain,” kata Azira.

Kata si cantik manis ini, teman lelakinya bukan seorang yang cemburu terutama apabila De Fam semakin popular dan dirinya pula mendapat perhatian ramai.

“Dia bukan seorang yang cemburu dan saya juga bukan jenis begitu. Dia mengenali saya sejak zaman saya menjadi penari, jadi dia sudah tahu dan faham bagaimana diri saya yang sebenarnya.

“Dalam soal memilih suami, saya mahu seorang lelaki yang mengutamakan keluarga dan ciri-ciri tersebut ada pada dirinya, Pendek kata, kami pernah melalui zaman susah dan senang bersama-sama dan dia kekal dengan saya,” kata Azira lagi.

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri, kata Azira, suasana sambutan hari raya tidak seindah tahun-tahun sebelum ini kerana dia dan keluarganya masih bersedih dengan kehilangan nenek yang dikasihi.

“Nenek menjaga saya sejak kecil dan tinggal bersama-sama kami sekeluarga dan sangat pandai memasak. Semua masakan dia pandai termasuk martabak dan masakan Barat.

“Selama ini dia yang sering memasak ketika Aidilfitri. Tahun ini sudah pasti kami sangat terasa ketiadaan nenek,” kata Azira yang berasal dari Kuala Lumpur dan meraikan Aidilfitri di ibu kota sahaja.