Ada pihak yang mengatakan zaman Dazrin sudah berlalu kerana ramai pelakon muda sedang menguasai industri.

Tidak kurang juga ada yang tidak mahu menerima Dazrin berlakon kerana saiz badannya yang semakin besar dan tidak kelihatan cantik di skrin layar.

a

Sebelum ini Dazrin berehat seketika daripada berlakon kerana mahu memfokus kepada bisnes dan rumah tangga.

“Sejujurnya memang ada produser dan orang belakang tabir seolah-olah memperlekehkan saya bila mahu membuat kemunculan semula.

Mereka memberi alasan saya sudah gemuk, tidak relevan dan perlu bersaing dengan artis-artis muda sekarang.

“Memang saya agak kecewa dengan kata-kata tersebut. Namun, saya tidak boleh terus bersedih kerana hidup tidak ke mana kalau fikirkan rasa sedih itu.

“Jadi, saya sepatutnya berterima kasih kepada mereka kerana menyedarkan saya agar tidak syok sendiri dan berusaha untuk kembali berlakon.

Tanpa membuang masa, kata-kata mereka membakar semangat saya untuk melakukan perubahan diri,” kata Dazrin.

Malah dengan kata-kata tersebut, Dazrin akui dia mula sedar yang bukan senang mahu bersaing dengan pelakon-pelakon muda, apatah lagi yang muncul dengan pakej lengkap.

Justeru, Dazrin tahu dia perlu melakukan sesuatu jika mahu kekal relevan dalam industri dan menjadi pilihan pihak produksi.

Lantas dia mula berdiet dan bersenam bagi menguruskan badan.

Hasilnya, berat Dazrin dari 88 kilogram berjaya diturunkan kepada 70 kilogram dalam masa enam bulan.

“Selepas berkahwin memang berat badan saya naik mendadak.

Tambah pula bila berehat dari berlakon, saya akui kurang mementingkan penampilan diri.

Jadi bermula akhir tahun lepas, saya mula aktif bersenam di gimnasium.

“Selain itu, saya juga menjaga pemakanan dengan teratur, elak makanan berminyak dan makan banyak sayur-sayuran. Malah saya sudah tidak makan nasi lebih enam bulan.

“Mulanya memang susah hendak mengawal nafsu makan, maklumlah saya tidak pernah berdiet sebelum ini.

Namun demi kerjaya, saya terpaksa berkorban,” jelas Dazrin yang sudah lebih 10 tahun berlakon.

Antara drama lakonan Dazrin sebelum ini adalah Adam dan Hawa, Love You Mr. Arang, Jodoh, My Darling Inspektor Daniel dan turut membintangi filem Seru, Apokalips X, Lebuh Raya Ke Neraka dan XX Ray 3.

Mahu tambah anak

Hasil perkahwinan dengan bekas pramugari, Nor Fazulin Razali dua tahun lalu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Dasuki.

Dazrin

“Kalau boleh saya mahu anak kedua secepat mungkin. Bagi saya anak adalah rezeki.

“Namun setelah berbincang, isteri meminta agar menunggu Dasuki berusia dua tahun,” katanya.

Menurutnya, isteri mahu mereka fokus dan memberi kasih sayang yang secukupnya kepada Dasuki sebelum mempunyai adik.

“Saya bila-bila masa pun tak kisah untuk tambah anak.

“Tapi bila difikirkan balik, betul juga cakap isteri yang perancangan itu penting,” katanya yang mengadakan majlis berbuka puasa sempena menyambut ulang tahun perkahwinan yang kedua pada 6 Mei lalu.

Dalam majlis tersebut, Dazrin turut menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-31 pada 10 Mei dan isterinya Zulin yang ke-35 pada 11 Mei.

Kebetulan pula, ibu dan ayah Dazrin juga menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-37 pada 8 Mei lalu.