Kewujudan puluhan persatuan industri seni juga pada akhirnya membuatkan semua pihak tidak mempedulikan lagi kewujudan mereka.

“Semua orang faham tentang kewujudan pelbagai badan dan persatuan yang membela nasib anak seni. Tetapi apabila kewujudan mereka terlalu banyak dan ditambah dengan ‘permainan’ politik sesama sendiri membuatkan segelintir pihak muak.

“Masalah besar berlaku apabila orang tidak mempedulikan lagi mereka. Akhirnya masing-masing ambil sikap tidak peduli. Ini yang sering kali terjadi,” kata Dayang.

Seperti mana yang diketahui ramai, kewujudan puluhan persatuan yang mewakili anak seni tanah air bukan lagi perkara baharu. Namun ada antara mereka yang bergolak sehingga menimbulkan pandangan skeptikal masyarakat terhadap anak seni.

Pun begitu, kewujudan persatuan yang benar-benar menjalankan tugas tidak boleh dinafikan namun untuk menyatukan anak seni di bawah satu bumbung bukan satu kerja yang mudah.

“Sepatutnya anak seni di letakkan di bawah satu bumbung sahaja dan dibahagikan kepada penyanyi, pelakon dan kru belakang tabir. Dengan cara begini akan lebih memudahkan sebarang bantuan mahupun pekerjaan yang hendak disalurkan.

“Apabila kebanyakan persatuan ‘bertembung’ sesama sendiri dan fungsi mereka lebih kurang sama, orang akhirnya tidak lagi mempedulikan kewujudan mereka. Ini sangat berbahaya,” jelasnya.

Terdahulu, Dayang pernah menyertai sebuah persatuan seni dan melakukan aktiviti bersama mereka. Namun kesibukan tugas yang semakin bertambah membuatkan dia mengurangkan aktiviti bersama mereka.

MELIHATKAN keadaan semasa industri seni tanah air, tidak ramai antara anak seni kita yang berada di baris hadapan dan mengecapi kejayaan. Ada antara mereka yang masih bergelut untuk mencari tapak dan mencari ruang sendiri.

Malah ada juga anggapan yang mengatakan hanya mereka yang pandai bermain ‘politik’ akan terus ke hadapan dengan pelbagai peluang besar yang menanti.

Bagi Dayang pula awal-awal lagi dia menolak tanggapan tersebut dan menganggap semua anak seni mampu pergi jauh sekiranya mereka memberikan yang terbaik dalam setiap karya dan tidak berputus asa.

“Saya sendiri pernah menjadi orang baharu dalam industri satu ketika dahulu tetapi saya bersaing secara sihat. Kena rajin mencari produk yang berkualiti dan jangan sesekali berputus asa.

“Dahulu orang selalu bercakap tentang isu radio yang tak memutarkan lagu mereka. Saya pun berhadapan dengan masalah itu dahulu tetapi kena rajin berusaha. Percayalah, kalau lagu tersebut sedap dan berkualiti tetap akan dimainkan,” tambahnya.

Selain itu, Dayang juga menitipkan pesanan kepada orang baharu untuk berusaha sehabis baik sekiranya mereka mahu berjaya. Dengan pelbagai platform digital yang ada ketika ini mereka mampu mencari alternatif untuk memasarkan produk masing-masing.