Berlangsung di Dewan Esplanade malam tadi, Dayang Nurfaizah berjaya memukau audiens dengan vokalnya menerusi himpunan lagu-lagu popularnya sepanjang dua jam konsert.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta dan Erti Hidup, dewan bergema dengan jeritan dan tepukan gemuruh peminat setianya yang memenuhi dewan tersebut termasuk dari Malaysia.

Selain itu, konsert yang dipimpin Jenny Chin sebagai pengarah muzik itu turut mempersembahkan pilihan lagu-lagu medley dan lagu-lagu runut bunyi (OST).

Sudah pasti lagu-lagu hitsnya turut dipersembahkan dan mendapat tepukan gemuruh peminat antaranya Layarlah Kembali, Separuh Matiku Bercinta, Di Pintu Syurga dan Lelaki Teragung yang menutup tirai persembahan.

Menurut Dayang Nurfaizah, seleksi lagu-lagu yang didendangkan pada malam itu istimewa buat peminat yang selama ini menyokong perjalanan seninya.

“Persembahan ini ibarat perjalanan kerjaya muzik saya bersama-sama peminat.

“Saya benar-benar berpuas hati dan bersyukur dengan sokongan peminat,” katanya.

Konsert Dayang Nurfaizah itu mendapat sambutan hangat peminat apabila tiket-tiket habis terjual selepas tiga hari dipasarkan. - UTUSAN ONLINE