Hal itu lebih ketara apabila Daus juga dilihat sibuk mengendalikan pelbagai perniagaan termasuk yang terbaru, sebuah farmasi di negeri kelahirannya di Bintulu, Sarawak.

Menolak andaian itu, penyanyi berusia 27 tahun ini menganggap, bidang seni sentiasa dekat di hati dan jiwanya malah tidak mungkin dia melepaskan sesuatu yang diminatinya dengan mudah.

“Setakat ini, saya masih lagi aktif dan meminati bidang nyanyian. Cuma saya akui, jarang muncul di televisyen, radio atau publisiti di akhbar dan majalah atas sebab-sebab tertentu.

“Masih ada tawaran dan peluang menyanyi untuk saya tetapi kebanyakannya untuk majlis tertutup. Pada masa yang sama, saya juga mengendalikan khidmat acara dan majlis di bawah syarikat pengurusan acara Armd Entertainment,” jelasnya.

Bakal muncul dengan single ketiga ciptaannya berjudul 1000 Rasa Cinta, Daus gembira kerana pihak KRU Music membuka peluang kepadanya untuk terus bertapak dalam industri.

“Minat saya dalam bidang nyanyian memang tiada tandingan. Bukan atas dasar mahu mengaut keuntungan semata-mata tetapi saya menyanyi untuk menyampaikan sesuatu kepada masyarakat selain mengembangkan bakat menjadi seorang penyanyi yang berjaya hingga ke peringkat antarabangsa.

“Sebab itu saya tetap menulis dan menghasilkan lagu dengan yang terbaru, 1000 Rasa Cinta. Single ini juga menyaksikan saya bergandingan dengan penyanyi rap dari Sarawak, Knowno URS,” katanya yang berharap single tersebut dapat mengubat kerinduan peminat apabila dilancarkan tidak lama lagi.

Demi masa depan

SEJAK berkahwin dengan Syaza Shamimi Jalaludin Khan pada 7 Jun 2013, kehidupannyabertambah bahagia apa lagi dengan kelahiran anak sulung, Delysha Senzela, 10 bulan.

Menganggap keluarga adalah keutamaannya, kata Daus, sebagai ketua keluarga, dia mahu memastikan keluarganya diuruskan dengan sempurna.

Tidak hairanlah dia memilih untuk membuka perniagaan farmasi dengan bapa mentuanya, Jalaludin Khan Atahar Khan sebagai pengarah pemasaran.

“Sebenarnya saya dan isteri telah lama merancang membuka farmasi sebab sebelum ini Syaza pernah bekerja sebagai pegawai farmasi di hospital kerajaan.

“Kami mengambil keputusan membuka farmasi i supaya senang untuk kami membahagikan masa kerja dan keluarga.

“Tidak sahaja farmasi, kami juga menjalankan perniagaan tudung dan baju secara atas talian. Saya pun memang sejak dulu berminat dengan perniagaan dan pernah membuka sebuah warung di Kampung Masjid, di Kuching, Sarawak," katanya yang menjadi timbalan pengarah manakala isterinya pengarah syarikat farmasi tersebut.

Farmasi yang berkonsepkan modern vintage itu telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pelancongan Sarawak , Datuk Hj Talib Zulpilip pada hujung bulan lepas.

Menurut Daus, dia juga membuka farmasi berkenaan sebagai satu usahanya memberi khidmat masyarakat kepada penduduk di kawasan Bintulu dan berharap perniagaan itu dapat dikembangkan ke seluruh Sarawak, Sabah termasuk Semenanjung Malaysia.

“Kami juga merancang mahu menjadikan farmasi ini sebagai tempat latihan industri bagi penuntut yang mengambil jurusan farmasi.

"Saya juga berharap farmasi ini mendapat sokongan daripada agensi-agensi kerajaan dan juga swasta memandangkan kami juga menyediakan bekalan perubatan dan produk kesihatan secara borong pada harga berpatutan.

“Malah dengan menggunakan kad ahli rasmi, pengguna juga boleh mendapatkan diskaun. Saya berusaha untuk meletakkan kadar keuntungan yang minima. Semoga itu menjadi sebahagian ibadah saya dan keluarga dalam menjalankan fardu kifayah kepada masyarakat,” katanya lagi.