JURUVIDEO Utusan Online, Danial Zaini bersama keluarganya selepas muncul juara realiti televisyen Lawak Solo anjuran Astro yang berlangsung di Studio Sound Stage, Finas, Hulu Klang, Selangor malam kelmarin.

Sebab itu, kata Danial yang merupakan kakitangan Kumpulan Utusan, dia tidak mahu kehidupannya selepas bergelar selebriti berubah secara drastik sehingga terlupa asal-usulnya.

“Ketika mula-mula membuat keputusan hadir ke sesi uji bakat Lawak Solo, saya tekad untuk buat yang terbaik demi mengharungi setiap cabaran sehinggalah mampu bergelar juara.

“Apabila teringat kisah-kisah artis yang lupa diri setelah berjaya seperti dilaporkan media, hal itu agak merisaukan saya. Takut terjadi kepada diri sendiri kelak,” katanya kepada Mingguan Malaysia dan berharap agar dijauhkan sifat riak dan takbur.

Danial mengulas kejayaannya menewaskan tiga lagi finalis ia­itu Mad Sabah selaku naib juara, Fikry (ketiga) dan AG Hafiz (keempat) dalam acara kemuncak yang berlangsung di sini semalam.

Atas kemenangannya itu, anak kelahiran Bayan Baru, Pulau Pinang berkenaan membawa pulang RM80,000 berserta trofi serta hadiah iringan lain sumbangan penaja.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perbezaan karakter­nya di tempat kerja berbanding di pentas Lawak Solo, Danial menjadikan pelawak Ebby Yus sebagai idola dan rujukannya.

“Ramai yang bertanya, kenapa sisi humor yang diserlahkan ketika berada dalam program ini tidak kelihatan di tempat kerja?

“Saya bagaimanapun tiada jawapan khusus untuk pertanyaan itu. Cuma boleh saya katakan, melawak adalah satu bakat seni atau anugerah yang dikurniakan untuk berkarya. Di pejabat, saya serius bekerja,” katanya.

Mengenai aktiviti seninya selepas ini, Danial berkata, dalam masa terdekat ini, dia akan mengikut sahaja jadual susunan pihak penganjur yang lebih berhak menentukannya berdasarkan kontrak yang telah dipersetujui bersama.

Pada masa yang sama, Danial juga berhasrat memanfaatkan wang tunai yang dimenangi untuk membiayai kos menunaikan haji ibunya pada masa akan datang.

“Orang tua saya dah bercerai dan ada keluarga masing-ma­sing. Saya tinggal dengan emak dan mahu melihatnya pergi menunaikan haji suatu hari nanti dengan duit ini,” tambahnya.