Menurut anak kelahiran Johor Bahru yang dibesarkan di Ipoh, Perak itu, sebelum ini dia merupakan penuntut di Universiti Mahsa dalam jurusan Diploma Perniagaan, namun menangguhkan pengajian kerana ingin membantu keluarganya.

“Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, saya ada tanggungjawab untuk memastikan keluarga saya hidup selesa. Apatah lagi kami dibesarkan oleh ibu tunggal dan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Disebabkan itu, selepas terbabit kali pertama membintangi drama My Coffee Prince, saya membuat keputusan untuk tangguhkan pengajian dan fokus mencari pendapatan sampingan. Insya-Allah, jika ada rezeki, saya akan sambung semula,” katanya kepada Utusan Online.

Tambah Aqil, pada awalnya dia bertindak sebagai bidan terjun bagi menggantikan seorang rakan yang sepatutnya berlakon dalam drama bersiri tersebut yang disiarkan di slot Mega Drama saluran Astro Ria sebelum ini.

Kemudian, peluang demi peluang hadir termasuklah menerusi drama Dia yang disiarkan di TV3 membariskan pelakon handalan seperti Janna Nick, Irwansyah, Adi Putra, Izara Aishah dan Sandrinna Michelle.

“Meskipun memegang watak kecil, namun saya yakin persepsi positif dalam kalangan warga produksi perlu diterapkan pada peringkat awal untuk meraih kepercayaan orang sekeliling.

“Jika babak lakonan saya sudah tamat, saya tidak akan terus pulang kerana lebih gemar menghabiskan masa di set penggambaran untuk menimba pengalaman. Saya akan memerhati dan berbual-bual dengan senior untuk dapatkan ilmu mereka.

“Semua itu perlukan komitmen yang tinggi. Kadang-kadang, penggambaran bermula dari subuh pagi hingga keesokan harinya. Natijahnya, saya tak punya masa yang cukup untuk rehat dan tidur.

“Ada satu ketika itu, rasa dah macam zombi atau mayat hidup. Jalan terhuyung-hayang dek keletihan melampau,” cerita Aqil berkongsi pengalaman dan berusaha menyesuaikan rutin seorang kehidupan seorang pelakon ke dalam dirinya.

Aqil memulakan kerjaya seninya dengan menjadi model iklan komersial televisyen (TVC) dan kini dia rela bertatih dari bawah demi mencapai impian dari bangku sekolah lagi untuk memanjangkan langkah menceburi dunia lakonan drama, teater mahupun filem.

Terkini, Akil sedang giat menjalani latihan untuk pementasan teater muzikal berjudul Usop Yeh Yeh terbitan Persatuan Kebudayaan Daerah Kinta Perak. - UTUSAN ONLINE