Menyingkap kehidupannya sewaktu zaman sekolah, menurut Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis bin Syed Zainal Al-Idrus, 30, tingkah lakunya yang agak kasar ketika itu menyebabkan rakan-rakan perempuan tidak begitu mahu mendekatinya.

“Cara saya memang agak kasar membuatkan mereka tidak menyukai diri ini. Mungkin kerana ayah merupakan bekas anggota tentera jadi cara didikan dia yang tegas menyebabkan saya terbawa-bawa dalam kehidupan seharian. Masa sekolah dulu kalau cara kita kasar memang budak lelaki sahajalah yang nak berkawan dengan kita.

“Mak juga selalu cakap sebelum saya lahir, dia dan ayah teringin sangat anak lelaki. Jadi, semua persiapan untuk sambut kelahiran seperti baju dan sebagainya mereka beli untuk sambut anak lelaki alih-alih dapat anak perempuan pula. Mungkin itu juga penyebab yang membuatkan naluri saya agak kasar sedikit,” tuturnya sambil tertawa.

Berkongsi kenangan yang tidak dapat dilupakannya, menurut anak tunggal ini ketika berada dalam darjah enam di Sekolah Kebangsaan Bagan Baharu, Perak, dagunya pernah tertusuk kawad berduri ketika bergaduh dengan rakan sekelas hingga menyebabkan dagunya kelihatan agak senget hingga ke hari ini.

“Biasalah zaman kanak-kanak, pergi sekolah bukan nak belajar sangat sibuk dengan bermain. Seingat saya masa tu saya bergaduh dan kejar kawan sebab tak puas hati. Dia berlari masuk ke dalam kawad berduri, saya pun ikut sekali cuma tak bernasib baik apabila dawai tersebut tertusuk ke dagu.

“Masa tu darah keluar tak henti tetapi sebab risau mak marah saya terpaksa diamkan. Lebih kurang dua minggu juga sampai bila tak tahan sangat barulah bagi tahu mak. Itu pun bila pergi klinik doktor cakap kesan duri yang berkarat tu dah terkena ke tulang. Kesannya kalau tengok sekarang dagu saya agak senget sedikit tetapi ramai yang salah faham cakap saya suntik botox,” ujar anak kelahiran Kelantan ini.

Ceritanya lagi, zaman sekolah banyak meninggalkan kenangan yang tak mampu dilupakannya kerana ketika itu dia sering dimarahi guru dan ibunya disebabkan kenakalannya.

“Kalau di sekolah, denda tu perkara biasa dan setiap kali pulang ke rumah mak pula sambung membebel sebab baju sekolah mesti kotor. Saya terpaksa tadah telinga tetapi ada juga masa kena cubit dengan mak bila kesan tanah pada baju tak boleh hilang. Pun begitu saya paling takut kalau mak mengadu pada ayah sebab ayah seorang yang sangat garang dan tegas,” ujarnya.

Karier seni

Sebelum memulakan kerjaya lakonannya, Anis pernah berkhidmat di saluran televisyen NTV7 dari tahun 2009 hingga 2010 sebagai wartawan penyiaran dan pembaca berita. Walau bagaimanapun dia mengambil keputusan untuk berhenti kerana merasakan bidang tersebut tidak bersesuaian dengan dirinya.

“Habis sahaja belajar saya mula mencari kerja sama seperti rakan-rakan lain. Tapi tak lama bekerja kerana pekerjaan tersebut kerana ketika itu jiwa saya lebih terjurus kepada bidang seni. Bukan mudah sebenarnya untuk membuat sesuatu yang kita tidak minat kerana itu saya tak fikir panjang untuk berhenti kerja," katanya.

Tidak perlu menunggu lama, satu minggu selepas meletakkan jawatan, nasib menyebelahi dirinya apabila ditawarkan oleh pihak Astro untuk berlakon dalam sebuah drama berjudul Cuak. Enggan melepaskan peluang di depan mata, tanpa berlengah dia terus bersetuju.

“Gembira sangat masa itu tak sangka mudah sahaja dapat peluang. Walaupun masa tu memang tak pandai langsung berlakon dan betul-betul ‘kayu’ sangat. Mujurlah digandingkan dengan Alif Satar, dia banyak membantu saya untuk menghayati watak dan sebagainya. Dia seorang yang tidak lokek ilmu.

“Selepas muncul dalam drama Cuak, saya mula mendapat tawaran lain dan sehingga ke hari ini saya sudah pun menjayakan lebih 10 buah drama. Antaranya Gemersik Kalbu, Walid-Walid, Tangisan Bulan Madu 2, Qanun 99, Duda Terlajak Laris dan banyak lagi,” ujar Top Model Malaysia 2010.

Biarpun berlakon merupakan minat namun menurut Anis, dia bukanlah seorang yang akan memfokuskan diri dalam satu bidang sahaja. Dia lebih suka mencuba dan mempelbagaikan bidang yang diceburi. Selain daripada berlakon artis ini juga turut bergelar pengacara bagi rancangan Serambi Pencetus Ummah.

“Saya selalu berpegang pada kata-kata ayah di mana dia selalu ingatkan saya untuk mencuba pelbagai perkara yang saya suka dan minat sebab katanya kita tak akan tahu kebolehan sendiri selagi kita tidak berani untuk mencuba,” tutur pemenang pencarian model Estee Lauder 2010 ini.

Bercerita lanjut tentang dirinya lagi, selain daripada bergelar penyanyi dengan melancarkan single berjudul Mengapa, dia juga mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan memperkenalkan hijab di bawah label sendiri iaitu Nishbyanisalidrus pada 2012.

“Masa tu minat menjahit, mula-mula saja cuba-cuba tak sangka pula dapat permintaan yang tinggi. Sekarang ini dah hampir enam tahun dan Alhamdulillah perniagaan hijab semakin berkembang di bawah label anisalidrus.co dan dalam masa yang sama juga saya turut memperkenalkan barangan kecantikan anisalidrusbeauty dan busana perkahwinan, bridesbyanisalidrus,” ujarnya.

Baru sahaja melayari alam rumah tangga dengan jejaka pilihan hati iaitu Mohd Rafzan atau lebih mesra dengan sapaan Aiman, 35, pelakon Duda Terlajak Laris ini juga sedang giat mempromosikan single terbarunya yang berjudul Tak Guna. Lagu yang dihasilkan oleh Hafiz Hamidun ini mengisahkan mengenai luahan hati seseorang terhadap kekasihnya dalam percintaan.

Pakai rambut palsu

Menginjak ke alam sekolah menengah, ibunya, Raja Puteri Azlini Atan sering meluahkan perasaan bimbang jika dia terus-terusan berperangai kasar seperti lelaki. Tanpa pengetahuannya dalam diam ibunya mendaftarkan namanya dalam pertandingan Ratu Cantik Miss Sabah/Lahad Datu 2003 ketika dia berumur 15 tahun. Ketika itu mereka sekeluarga menetap di Sabah.

“Masa tu tak tahu apa-apa tiba-tiba mak suruh siap-siap sebab kena masuk pertandingan. Kelakarnya masa tu mak siap belikan rambut palsu lagi sebab masa tu rambut saya memang pendek seperti lelaki. Tanpa banyak soal saya ikut sahaja.

“Bayangkan tanpa sebarang persediaan saya terpaksa naik ke pentas dan berjalan ala-ala model. Waktu tu memang tak selesa sebab berbeza dengan cara saya tapi disebabkan arahan mak jadi saya ikutkan sahaja. Tak sangka pula saya terpilih ke peringkat akhir dan seterusnya bergelar juara,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agaseh, Lahad Datu ini lagi.

Bermula dari saat itu dia mula bergiat aktif dalam bidang peragaan apabila ditawarkan kontrak selama satu tahun. Biarpun ketika itu masih di bangku sekolah namun menurutnya itu bukanlah halangan untuk dia terus mengulangkaji pelajaran.

“Waktu tu saya dah mula jatuh hati sebenarnya dalam bidang peragaan. Disebabkan itu saya mula menyimpan rambut panjang. Biarpun agak penat belajar dan dalam masa yang sama bergelar model tetapi saya bangga sebab masa tu tak harapkan duit daripada mak dan ayah sebab sudah ada pendapatan sendiri.

“Tamat sahaja tingkatan lima, kami sekeluarga balik ke Semenanjung dan saya menyambung pelajaran di Management and Science University (MSU) dalam Ijazah Perniagaan Antarabangsa (Perbankan dan Kewangan). Bila dah balik Semenanjung sebenarnya memudahkan lagi saya bergerak aktif untuk bergelar model kerana di sini lebih banyak peluang.

“Jika nak diikutkan masa belajar saya sudah berminat dalam bidang seni. Di kolej saya selalu terlibat dengan persembahan lakonan dan nyanyian. Dalam tak sedar dari situlah saya mula mengasah bakat sikit demi sedikit. Biarpun ketika itu saya tak pernah pun berangan-angan untuk bergelar artis,” ujar nya yang pernah menyandang gelaran Miss MSU 2007.