Vokal serak-serak basah pelakon muda ini juga melengkapi watak itu. Pun begitu, tidak mudah ‘memberi’ nyawa kepada watak ciptaan Erma Fatima, pengarah dan teraju utama pementasan tersebut yang dipanggilnya Mama.

“Saya pernah menangis gara-gara Julie,” demikian kongsi Nadia yang dimarahi Erma kerana tidak mampu menjiwai watak itu ketika sesi latihan berlangsung. Namun kata Nadia, dia tidak pernah serik malah terus bersemangat untuk belajar, meraih ilmu serta pengalaman.

“Ini peluang keemasan saya, bukan sahaja untuk berada bersama-sama sekumpulan pelakon dan produksi hebat tetapi untuk belajar. Belajar daripada mereka yang punya nama besar dalam industri - Mama, Kak Umie (Umie Aida), Datuk Rahim Razali.

“Menangis memanglah menangis. Masakan tidak, Mama hentak meja ketika itu sampai semua orang terkejut. Tapi saya tak kecil hati malah saya kata dalam hati, 'tolonglah tegur saya lagi',” katanya sambil memberitahu “kalau mak saya ada, dia pun tak marah anaknya dimarahi. Dulu semasa sekolah, dia siap bagi rotan dan pesan kepada cikgu buatlah apa sahaja asalkan jangan patah riuk anak dia.”

Tidak dinafikan Julie mampu menjadi penanda aras buat Nadia dalam bidang lakonan namun aktres berusia 25 tahun ini dalam nada malu-malu dan merendah diri mengakui, perjalanannya dalam bidang seni ini masih panjang.

Baru setahun mendepani bidang ini, bagi Nadia, dirinya masih terlalu hijau dan banyak lagi liku dan cabaran yang perlu ditempuhi dalam sepak terajang permainan industri.

Namun dia mengakui berasa bertuah kerana laluannya untuk menyertai bidang lakonan boleh dikatakan mudah dan lebih penting, berpeluang bekerjasama dengan mereka yang punya pengaruh antaranya seperti Puteri Balqis dan Nabila Huda untuk drama pertamanya, Akulah Balqis serta Erra Fazira bagi drama keduanya, Rumi & Jawi.

“Mereka ini sangat berbakat dan tidak lokek. Puteri Balqis misalnya, walaupun dia hanya berusia lapan tahun ketika kami berlakon sama, dia banyak mengajar saya untuk menjiwai watak.

“Dia selalu meminta saya melihat ke dalam matanya kala berlakon dan Mama juga pernah menasihati saya begitu. Nabila Huda pula tidak perlu dipertikaikan lakonannya.

“Dengan Kak Erra yang memang idola saya, saya tengok cara dia berlakon dan dia seorang yang sangat fokus. Apapun terjadi di lokasi, dia tetap tenang meneruskan lakonan tanpa rasa terganggu.

“Perkara-perkara ini saya pelajari dan peroleh di lokasi penggambaran dan saya tidak malu untuk meminta nasihat mereka tidak kira pelakon veteran mahupun pelakon muda kerana saya perlu kumpulkan semua ilmu-ilmu dan tips yang saya dapat ini untuk saya merangkak, berdiri dan akhirnya berlari dalam bidang yang saya minati ini,” katanya optimis.

Nadia juga memberitahu, dia bukan seorang yang mudah berputus asa dalam usaha mengejar impian menjadi pelakon terbaik dan sentiasa bersedia menghadiri sesi uji bakat malah sejak zaman belajar lagi, sudah berkali-kali dia menjalani uji bakat namun rezeki tidak berpihak kepadanya.

IMPIAN

Rindu. Begitulah kata Nadia saat melangkah ke Panggung Sari yang dipilih untuk fotografi tempoh hari. Tentu sekali sebagai anak seni, lantai pentas teater menjadi tempat membuktikan kemampuan diri, sementelah dia sendiri merupakan pelajar jusrusan seni lakon.

Sudah tiga kali 'masuk' ke panggung bertaraf dunia itu menerusi Bawang Putih Bawang Merah dan Bikers Kental, Mak Cun D’Walei memberikan satu rasa yang tidak akan pernah dilupakan sepanjang hayatnya.

“Saya mahu jadi seperti Mama,” katanya yang berhasrat mahu menyambung pengajian dan bergelar penerbit dan pengarah satu hari nanti. “Saya mahu mengajar orang dalam lakonan,” katanya yang pernah berhasrat mengikuti kursus perguruan satu ketika dahulu.

“Semuanya adalah rezeki daripada Allah. Alhamdulillah kerana orang semakin nampak bakat saya. Berpeluang berlakon di bawah arahan Mama adalah peluang yang tidak terjangkakan,” katanya lagi.

Memberitahu pertemuannya dengan Erma juga secara kebetulan apabila pengarah dan penerbit itu mencari model untuk memperaga koleksi pakaiannya, siapa sangka akhirnya membuka jalan kepada Nadia untuk menggapai impian dalam bidang seni.

“Ada mencadangkan nama saya dan apabila ke ofisnya dengan ibu, Mama terus cakap, berlakon ya lepas ini dan dua hari selepas itu saya ke pejabatnya lagi untuk bertemu dengan pengarah, Pali Yahya dan ditawarkan berlakon Akulah Balqis,” cerita Nadia.

Pernah menjadi model bagi mencari duit poket selepas tamat persekolahan, Nadia juga percaya, restu ibu membuatkan laluannya dalam bidang ini mudah dan lancar.

“Sebelum ini saya pernah dapat tawaran berlakon tetapi ketika itu ibu mahu mengerjakan umrah dan memberitahu dia hanya akan beri jawapan sama ada membenarkan saya berlakon atau tidak selepas pulang dari sana.

“Dan selepas dia pulang dan memberi restu, saya mendapat peluang berlakon. Ibu memang sangat menyokong dan menghargai kerja saya malah dia jugalah yang bingkaikan keratan jika ada cerita saya keluar di akhbar atau majalah,” kata anak kedua daripada empat adik beradik bernama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi ini lagi.

SINAR 2017

ALANG-ALANG menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Itu prinsip Nadia dalam bidang lakonan. Katanya, dia perlu fokus terhadap tujuan dan kenapa dia memilih laluan ini agar tidak tersasar dalam mengejar impian bergelar pelakon berjaya.

Mengimpikan karektor yang kuat dan mampu mencabar dirinya, Nadia memberitahu, dia tidak mengejar populariti sebaliknya mahu mewarnai lakonan dengan memberikan hasil kerja terbaik kepada khalayak.

Memberi tempoh sebelum usianya 30 tahun untuk berdiri kukuh dalam bidang seni, Nadia mengakui 2017 menjanjikan lebih banyak peluang kepadanya.

“Dalam tempoh setahun ini, selain drama, saya juga banyak menerima pendedahan dan tentu sekali saya menggalas tanggungjawab memberikan yang terbaik terhadap kepercayaan yang diberikan kepada saya.

“Saudah pasti saya perlu melakukan kerja dengan sebaik-baiknya. Fokus dan jaga disiplin,” tegasnya yang popular menerusi siri Sweetie Nanie yang mendapat jumlah tontonan 4.2 juta ketika tayangan.

Mengakui berdebar untuk melangkah setapak lagi tangga dalam kerjaya seninya, Nadia sebagai teraju utama akan bergandingan dengan Johan Raja Lawak dalam filem pertama lakonannya, Era Da Movie arahan Ghaz Abu Bakar. Pelakon lain yang terlibat ialah Ray dan Haniff daripada Johara Pagi Era serta Dina Nazir.

“Filem itu sebuah filem komedi ala-ala filem Scary Movie yang akan parodikan filem-filem pecah panggung terbitan Astro Shaw antaranya seperti Polis Evo, Ola Bola dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

“Selain itu ada beberapa tawaran drama yang saya memang ingin sertai antaranya drama 50 episod arahan Pali Yahya yang menawarkan saya watak antagonis.

"Namun saya perlu meneliti jadual kerana penggambarannya juga akan dilakukan awal tahun depan. Saya berharap sangat dapat berlakon dalam drama itu,” katanya yang turut menerima tawaran pementasan teater pada Februari depan.

Tahun depan juga ada beberapa drama lakonannya yang akan ditayangkan antaranya Sape dari Itali, Khurafat dan Lamar.