Namun berbeza caranya bagi pelakon yang kini bergelar penyanyi rap, Saharul Ridzwan yang lebih gemar mengabadikan rasa hati dalam tulisan dan diubah menjadi lirik lagu.

Begitulah permulaan kisah yang akhirnya membawa Saharul atau Mohd. Saharul Ridzwan Hashim, 29, melangkah dalam bidang seni muzik dengan single sulungnya berjudul Buku Putih hasil kolaborasi dengan komposer terkenal Ajai.

“Sebelum ini, peminat hanya mengenali saya sebagai Saharul Ridzwan iaitu seorang pelakon sahaja. Mereka tidak pernah tahu sisi lain dalam hidup saya.

“Justeru, bagi sesiapa yang ingin kenal diri saya yang sebenar, semua itu saya curahkan dalam setiap lirik yang saya hasilkan.

“Kebiasaannya idea menulis muncul apabila berlaku masalah dalam hidup saya. Oleh kerana saya tidak tahu nak luahkan kepada siapa dan tidak mungkin untuk saya lakukannya dalam media sosial, jadi saya akan karang yang terlintas di fikiran.

“Sehingga kini, terdapat berpuluh-puluh lirik yang saya simpan. Saya berharap agar diberikan rezeki untuk terus merakamkan lagu dengan menggunakan lirik ciptaan saya,” jelasnya yang ditemui baru-baru ini.

Menyingkap kembali kisah pertemuannya dengan Ajai, pelakon yang fenomena dengan drama, Jangan Benci Cintaku ini menceritakan bahawa segala-galanya bermula dengan seloroh.

Bagaimanapun rezeki memihak kepadanya apabila pengurus yang juga isteri Ajai, Liza, mengundangnya ke studio untuk berjumpa komposer tersebut. Pertemuan tersebut membawa kepada persetujuan untuk mereka bergabung menghasilkan Buku Putih.

“Saya dan Kak Liza berjumpa ketika sama-sama menghadiri satu majlis. Secara seloroh, saya meminta dia mengambil saya sebagai artis rakaman Abang Ajai.

“Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan daripadanya dan dia meminta saya datang ke studio untuk berjumpa dengan Abang Ajai.

“Ketika itulah saya beritahu abang Ajai yang saya mempunyai lirik dan ingin menyanyi rap.

“Lantas Abang Ajai hasilkan melodi dan tambahkan korus dan terhasillah lagu Buku Putih yang mengisahkan tentang persahabatan saya dengan seorang rakan baik yang saya anggap sebagai saudara,” ujarnya yang kini bergelar penyanyi bawah syarikat Ajai, Wake The Baby.

Rujuk pakar agama

MEMASUKI bidang muzik, Saharul mengakui, fokusnya terhadap industri seni kini terbahagi dua. Bagi bapa kepada Muhammad Luth Ali ini, dia tidak akan memperlahan langkahnya dalam lakonan, meskipun bakal sibuk dengan rangka promosi single pertama.

Bercerita tentang lakonan, Saharul berkongsi kisah yang pernah membuatkan dia nekad untuk meninggalkan dunia tersebut. Semuanya bermula apabila timbul rasa bersalah kerana terpaksa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Pun begitu, niatnya dibatalkan selepas dia dipertemu dengan dua orang pakar agama dan Saharul meminta nasihat dan pandangan mereka tentang niat tersebut.

“Sejak awal pembabitan saya dalam lakonan, saya tidak mampu untuk berkata tidak kepada beberapa perkara yang saya rasa salah dilakukan. Perkara yang paling utama ialah membabitkan babak bersentuhan antara lelaki dan wanita walaupun secara berlapik.

“Disebabkan itu, saya nekad untuk berhenti berlakon sehingga saya sanggup memberitahu isteri agar bersedia sekiranya mereka tiada punca pendapatan suatu hari nanti.

“Namun apabila pakar agama menjelaskan dengan hadis serta dalil dan mengatakan tidak salah untuk saya meneruskan kerjaya ini, saya tidak jadi mengambil keputusan berhenti berlakon.

“Kerana mereka menjelaskan bahawa saya boleh terus berlakon tetapi dengan niat untuk berdakwah.

“Caranya, saya berdakwah melalui mesej yang disampaikan dalam karya lakonan saya itu,” katanya yang kini sedang menjayakan watak penagih dadah menerusi sebuah telefilem.