Biarpun mungkin namanya tidak sepanas tatkala mula-mula melangkah dalam industri, namun nama dan wajah pelakon lelaki ini tidak pernah pudar dan sentiasa bermain pada layar kaca.

Mungkin itu adalah resepi jejaka hitam manis ini. Tidak perlu memutihkan kulit mahupun membentuk badan ‘sado’, dia masih mampu bertahan kerana bakat lakonan yang dimiliki.

Bukan mudah sebenarnya untuk kekal bertahan dalam industri. Mungkin mudah untuk popular cuma mampukah populariti itu bertahan dan terus memahat nama dalam industri?

Tidak mahu terikut-ikut trend pelakon lelaki sekarang, Shah Iskandar selesa berdiri dengan bakat dan rupa paras seadanya, malah dia tidak perlu ‘bergolok gadai’ semata-mata mencipta kontroversi untuk meraih perhatian.

“Bagi saya, tanda aras seorang pelakon adalah bagaimana lakonan kita menyentuh hati penonton tidak kira watak apa sekalipun. Baik, jahat, pembantu atau utama, semua ada kekuatan tersendiri.

“Bukan hendak kata saya seorang pelakon yang bagus, itu jauh sekali. Masih banyak yang saya perlu belajar tapi tidak perlulah saya bersungguh-sungguh ikut trend semata-mata untuk bersaing.

“Apabila orang ‘sado’, kita pun nak ‘sado’. Orang putih, kita pun nak putih. Kalau begitu sampai bila-bila pun kita akan menipu bukan sahaja peminat tetapi diri sendiri,” kata anak kelahiran negara seberang tambak, Singapura.

Tidak malu mengakui yang dia agak ketinggalan berbanding pelakon lain khususnya jika diukur berdasarkan populariti media sosial, namun itu bukan sesuatu yang perlu dirisaukan.

Yang penting dia mengambil pendekatan untuk sentiasa berhubung dengan peminat dan memuat naik gambar atau video untuk memaklumkan perkembangan diri. Semuanya untuk kekal relevan.

“Bukan bermaksud media sosial tidak penting tapi sejujurnya, saya seorang yang old school (cara lama) dalam bab media sosial ini, tetapi yang saya pentingkan adalah macam mana hendak kekal relevan.

“Dulu dan sekarang, strategi pemasaran jenama seseorang artis itu berbeza. Sekarang guna Instagram pun sudah cukup.

“Tapi adalah penting orang melihat hasil kerja kita dalam industri.

“Kita mahu orang cakap fasal kerja kita, bukan kontroversi yang kita buat. Cuma satu persoalan, di mana nilai eksklusifnya kita sekarang? Tepuk dada tanya selera,” katanya.

Bukan milik sesiapa

Semakin aktif melukis kanvas seni lakonan dengan beberapa drama popular antaranya Dendam Aurora, ada beberapa dakwaan mengatakan Shah Iskandar merupakan anak emas kepada syarikat produksi, Global Station.

Hanya tersenyum seraya menggelengkan kepalanya, pelakon ini menafikan dakwaan tersebut. Tegas memberi kata, dia bukan milik mana-mana produksi, Shah Iskandar berkata, dia sebenarnya sangat selesa bekerja dengan produksi tersebut.

Namun dia sendiri tidak kisah sekiranya ada pihak yang menggelarkannya anak emas syarikat produksi itu, walaupun dia sebenarnya tidak mengikat sebarang kontrak dengan Global Station.

“Anak emas Global Station? Kelakarlah. Saya tidak ada kontrak dengan mana-mana produksi dan bukan milik sesiapa. Bagi saya, yang penting saya selesa bekerja dengan Global Station.

“Saya masih menerima tawaran dari produksi lain dan itu bermaksud saya bebas untuk membuat pilihan. Kerjasama dan keselesaan serta kebajikan semasa di set penggambaran itu diutamakan,” katanya.

Kini sibuk di set penggambaran drama 100 episod, Jodoh Annisa, Shah Iskandar mengakui, hampir sedekad dalam industri menjadikan dia lebih matang dalam memilih naskhah supaya dapat memberi variasi kepada lakonannya.

Tidak kisah seandainya ditawarkan watak bapa atau tua, aktor ini bersyukur pada usia menjengah ke angka 40, dia masih menerima tawaran untuk membawakan watak pelajar kolej.

“Kelakar pun ada cuma mungkin rezeki saya. Tak kisah pun andai kata ada tawaran jadi pak cik tua atau ayah. Semua pelakon akan melalui fasa itu juga. Kita bukan semakin muda, kan?

“Yang penting adalah kita kena sentiasa relevan dan ada sesuatu untuk diberikan. Bukan sekadar menjual nama atas tiket kontroversi dan cerita panas semata-mata,” katanya.