Sedekad berusaha mendaki puncak seni, dia berjaya mematahkan fikiran dangkal segelintir pihak yang pernah meletakkan dia di bawah. Dia membuktikan cita-citanya lebih besar daripada persepsi nakal orang lain.

Namun, cukup setakat itu dia akhirnya nekad meletakkan noktah mengakhiri kerjayanya sebagai penyanyi. Tanggal 27 November lepas tercatat dalam sejarah sebagai hari gelap untuk diari seninya.

Bukan kerana merajuk, apatah lagi kecewa dengan permainan industri yang kadang-kala cukup perit untuk ditanggung, namun dia bulatkan tekad kerana itu janji yang pernah dilafaz sedekad yang lalu.

Ada yang menggelarkan dia gila kerana sanggup mengetepikan segala kemasyhuran yang diterima sebagai penyanyi rap tempatan. Namun, hatinya puas dengan pencapaian yang diterima setakat ini.

“Saya pernah menghalang diri daripada mengimpikan apa yang dikecapi hari ini. Saya bermula sebagai seorang pemuda yang memasang impian untuk karya didengari seluruh pelosok negara.

“Kini saya boleh berbangga dengan pencapaian yang ada. Tidak terlalu hebat tapi cukup memuaskan hati. Sekarang saya mahu berehat dahulu sebelum bangkit dan kembali berlari.

“Mungkin ada yang salah faham. Saya hanya bersara sebagai penyanyi. Saya masih menulis lagu dan lirik. Malah, ada beberapa tawaran untuk berlakon pula. Tetapi nanti dululah,” katanya penyanyi berusia 40 tahun ini.

Diaju soalan adakah dia bakal melakukan pusingan U dan kembali semula sebagai penyanyi, Altimet hanya tersenyum kecil. Perlahan mengambil nafas, dia menjawab semuanya bergantung kepada keputusan ibunya, Jamalah Agil.

“Dia tidak mahu saya menyanyi lagi. Jadi sebagai anak, keputusan itu kita turutkan. Mana-mana pihak yang mahu saya kembali menyanyi, boleh terus berhubung dengan dia.

“Saya tak mahu jadi anak derhaka, kena dengar cakap ibu. Kalau dia izinkan, saya okay sahaja. Tapi sekali lagi, bukan sekarang,” katanya yang menolak lima tawaran persembahan sempena tahun baharu 2019.

Melengkapkan pencapaiannya sebagai penyanyi, Altimet menghadiahkan peminat dengan kelahiran album terakhirnya, O. Seluruh jiwa dan raga dicurahkan untuk nashkah terbaiknya itu.

Mengibaratkan diri sebagai pelari maraton yang sudah sampai ke garisan penamat, Altimet mengambil lebih tiga bulan untuk menghasilkan album tersebut. Dia menutup mata dan telinga bagi memberi fokus penuh kepada album itu.

“Konsep album ini sudah bermain dalam minda sejak lapan tahun dahulu. Ketika itu saya sudah meletakkan tempoh 10 tahun akan datang untuk bersara. Satu hari, saya akan hadiahkan album terakhir ini.

“Album ini membariskan 13 buah lagu yang saling berkait antara satu sama lain. Seperti sebuah novel, saya karang setiap lagu dan lirik dengan penceritaan sedekad sebagai penyanyi.

“Saya perlu hasilkan album yang luar biasa, jadi kena `pukul habis’. Saya mahu keluar dengan cara baik seperti mana saya masuk dahulu. Ini adalah hadiah terakhir saya,” katanya.

Tidak menolak sama sekali untuk mencurahkan setiap memori dan kenangannya dalam sebuah novel, bagaimanapun Altimet mahu menyempurnakan segala kerja yang tertunggak terlebih dahulu.

“Saya bukan tahu sangat menulis sebuah biografi. Menolak itu tidak, tetapi mungkin suatu hari nanti kita akan laksanakan. Memang ada yang minta, tetapi bukan sekarang,” katanya.

Bakal mengadakan konsert terakhirnya, Februari depan, ramai yang beranggapan dia seperti ‘gila talak’. Sudah nekad menoktahkan karier sebagai penyanyi, tiba-tiba bakal beraksi dalam sebuah konsert.

Bukan mudah untuk mengadakan sebuah konsert, Altimet menepis dakwaan tersebut. Dia sebagai penganjur perlu memastikan konsert itu berjalan lancar dan berjaya memahat memori indah kepada peminat.

“Saya budak baharu belajar. Selama ini saya fokus kepada proses rakaman. Ini kali pertama buat satu konsert, jadi pastinya tekanan itu lebih. Ini proses belajar untuk kami.

“Pada mulanya kami merancang mengadakan konsert pada bulan ini, sekali dengan pelancaran album. Namun, kami hanya mampu merancang. Kita perlu idealistik dan tahu kemampuan diri,” katanya.

Masih belum menetapkan lokasi dan tarikh sebenar konsert tersebut, Altimet bersama pasukannya tidak mahu berkompromi dalam soal kualiti. Dia perlu mengambil masa yang panjang untuk menyediakan persembahan terakhirnya.

“Skala tidaklah terlalu besar. bukan Bruno Mars pun. Ramai artis akan buat penampilan khas termasuk Awi Rafael. Sehingga konsert itu nanti, tidak akan ada satu pun persembahan saya.

“Saya mahu berehat dan tidur sepuas-puasnya. Itu hobi saya,” kata penyanyi lagu Bunga yang berjaya ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 yang bakal berlangsung Februari depan.

Ditanya, siapakah gerangan penyanyi yang bakal menggantikannya di pentas AJL itu nanti, Altimet menggelengkan kepala. Enggan berkongsi, dia mahu memberi kejutan kepada peminat.

“Ramai peminat yang memberi cadangan beberapa nama artis, tetapi saya sudah ada pilihan sendiri. Mereka sangat berbakat dan saya yakin mereka mampu memberi yang terbaik untuk Bunga,” katanya.