Enggan terus dikaitkan dengan kontroversi, Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen mengambil keputusan untuk mengunci mulut tentang kisah peribadi terutama melibatkan jodoh dan hanya ingin berkongsi mengenai karier seninya sahaja.

Baginya, cukup sudah perihal cinta yang galak diperkata sepanjang tahun lalu. Lantas, fokus utamanya kini lebih terarah kepada kerjaya lakonan yang memenuhi jadualnya bagi tahun ini.

“Saya tidak mahu lagi bercakap tentang cinta. Usia saya baru 26 tahun, jadi masih banyak perkara terutama kerjaya yang hendak dilakukan.

“Kalau hendak dikira sebagai pelakon yang banyak kisah sensasi, rasanya bukan saya seorang. Namun saya sentiasa cuba belajar daripada pengalaman. Mungkin kerana saya pun masih muda, jadi apa sahaja yang saya lakukan pastinya ada yang tidak kena dan mendapat perhatian,” ujarnya.

Lari daripada topik peribadi, Uqasha teruja berkongsi mengenai gandingannya dengan pelakon popular, Beto Kusyairy menerusi telefilem Esok Untuk Kita.

Yang membuatkan Uqasha lebih teruja ialah diberi peluang berlakon dengan hero pertamanya ketika awal pembabitan dalam lakonan.

Tambah pelakon drama Tundukkan Playboy Itu, dia sangat berbesar hati kerana diberi berpeluang bekerja dengan bintang besar dalam industri kerana peluang tersebut secara tidak langsung dapat memberi ilmu kepadanya supaya mampu menjadi pelakon yang lebih baik.

“Dalam mencipta nama dan mencari ilmu, saya tidak pernah memilih setiap kali dapat tawaran. Saya suka mencuba dan membuat sesuatu yang baharu. Saya juga tak kisah sekiranya digandingkan dengan pelakon yang belum pernah kerja bersama atau syarikat produksi baharu.

“Bagi saya, gandingan pertama kali mampu memberi ilmu dan pengalaman yang berbeza. Namun menerusi telefilem tersebut, saya gembira dipertemu lagi dengan Beto. Dia seorang pelakon yang bagus dan sangat membantu ketika kami menjayakan penggambaran,” jelasnya.

Telefilam Esok Untuk Kita terbitan Kembara Sufi Sdn. Bhd., mengisahkan Zulia lakonan Uqasha yang menghidap kanser dan ingin melihat suaminya Hisham (Beto) mengahwini rakannya sendiri.

Tidak pernah rasa tercabar

BERBICARA tentang persaingan dalam kerjaya, Uqasha menjelaskan, dia tidak pernah rasa tercabar dengan kehadiran wajah dan bakat baharu dalam memeriahkan dunia seni tempatan.

Apa lagi pada kedudukannya yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi, kakak kepada pelakon Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose ini bersyukur kerana masih menerima tawaran berlakon.

“Saya tidak pernah terfikir tentang persaingan terutama dengan bakat baharu. Dalam apa sahaja pekerjaan, pastinya ada saingan. Ini sesuatu yang normal.

“Namun saya bersyukur kerana setakat ini saya sentiasa diberikan tawaran kerja. Saya menerima tawaran-tawaran tersebut mengikut kemampuan saya,” katanya merendah diri.

Dalam soal tawaran juga, pelakon drama bersiri Hero Seorang Cinderella ini mengakui, dia lebih selesa bekerja untuk naskhah telefilem berbanding drama bersiri.

Jelasnya, ini kerana menerusi telefilem dia mampu sentiasa fokus dan mendalami setiap watak serta jalan cerita yang diberikan.

“Buat masa ini, saya lebih gemar menjayakan telefilem.

“Bagi drama episod pula, jika ada satu tawaran setahun sudah memadai,” katanya mengakhiri perbualan.