Konsert yang diserikan dengan kumpulan jemputan, Sil-khannaz bermula kira-kira pukul 9 malam sebelum Cromok pula mengambil alih pentas 40 minit kemudian.

Persembahan anjuran JMP Production untuk konsert Metal Legend II dengan tema ThrashDisional menampilkan kelainan apabila menggabungkan irama thrash dan speed metal diiringi kumpulan Ghazal Yayasan Warisan Johor (YWJ).

Cromok yang ditubuhkan pada 1987 semasa anggotanya masih menuntut di University of Wollongong di Sydney, Australia menyampaikan lagu-lagu daripada tiga album terawal iaitu Image of Purity (1991), Forever In Time (1993) dan Yours Truly (1996).

Menerusi barisan tiga anggota asal iaitu Sam selaku bes/vokal, Karl (gitar) dan Miji (dram) dibantu Shah selaku gitaris undangan dan bekas anggota Humiliation, Cromok yang sinonim dengan pelopor irama berat tempatan itu menyampaikan kira-kira 12 lagu klasik mereka.

Antaranya Unicron, Misty, Journey, Another You, Memories, Misery, Siblings, Stranger, Punishment Hour dan Farewell, ada di antara lagu tersebut dimainkam bersama-sama alat muzik tradisional seperti gambus, biola, kibod, gendang dan accordion termasuk penyanyi wanita yang memberikan persembahan unik serta istimewa.

Cromok yang pernah menghasilkan kira-kira lapan buah album Inggeris dengan teras thrash dicampurkan speed dan heavy metal turut menggubah lagu tradisional Melayu iaitu Ulek Mayang dengan versi metal tersendiri untuk konsert malam tadi seperti yang pernah dilakukan dalam album pertama mereka.

Terdahulu, kumpulan death metal terkenal negara, Sil-khannaz membuka tirai dan mereka menyampaikan enam buah lagu dari album lama termasuk album baharu selain dua lagu saduran daripada Iron Maiden dan Slayer.

Antara lagu-lagu yang disampaikan kumpulan lagenda yang ditubuhkan pads 1987 di Perlis ini ialah Gerbang Kayangan, Santapan Terakhir Raja Bersiong, Tawanan Dosa dan Kiss of The Whisper selain Powerslave (Iron Maiden) dan Raining Blood (Slayer). - UTUSAN ONLINE