Genre tersebut menggabungkan elemen muzik thrash dan tradisional irama ghazal. 


Sebagai pengenalan kepada thrashditional khusus untuk peminat mereka, Cromok akan mengadakan Konsert Metal Legend II Live in JB di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru pada 8 September ini. 


Menurut ketua kumpulan Cromok, Karl, idea menghasilkan genre thrashditional tersebut lahir daripada perkongsian anggotanya yang mahu menampilkan perbezaan dengan irama lain. 


Tambahan pula katanya, Cromok sebelum ini pernah mempopularkan lagu Metallurgical yang menggabungkan intro lagu tradisional Ulik Mayang sehingga menjadi kegilaan satu ketika dahulu. 


“Untuk membuatkan penonton tertarik dan hadir ke persembahan konsert, kita perlu sentiasa ada kelainan. 

“Kali ini kami mahu masukkan irama ghazal kerana negeri Johor terkenal dengan muzik ini. 


“Justeru dalam konsert tersebut, Cromok akan bergabung dengan kumpulan ghazal Sri Aras Johor,” kata Karl. 


Selain Cromok, turut membuat persembahan dalam konsert tersebut ialah kumpulan Sil Khannaz yang popular dengan lagu-lagu metal dan keras. 


Tiket konsert yang berharga di antara RM48 sehingga RM250 boleh dibeli secara dalam talian di www.ilassotickets.com atau www.stubapp.com. - UTUSAN ONLINE