Menurut Kilafairy, dia dan ibunya sudah lama merancang untuk mengeluarkan single bersama dan atas permintaan peminat, kedua beranak itu sepakat menyanyikan semula lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Nostalgia Aidilfitri.

“Lagu itu bukan lagu baharu tetapi kami nyanyikan semula kerana saya dan mama memang minat lagu Nostalgia Aidilfitri dendangan biduanita negara, Allahyarham Sharifah Aini.

“Memang sudah lama sangat nak keluar lagu duet dengan mama, jadi pihak pengurusan mencadangkan kami menyanyikan lagu raya. Lagu tersebut mendapat susunan semula John Jeevasingham dan Bryan B,” katanya kepada Utusan Online.

Dalam pada itu, berbicara soal persiapan raya, Kilafairy berkata, dia dan keluarga bakal beraya di Kuala Lumpur dan mengambil pendekatan kesederhanaan dalam menyambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

“Baju raya pun saya tak beli lagi. Memang setiap tahun begitu, di saat-saat akhir baru beli. Kalau tidak pun, saya pakai sahaja baju tahun lepas,” katanya yang bakal terlibat dalam penggambaran drama baharu kelak. - UTUSAN ONLINE