Banyak menerima pertanyaan mengenai cara dia meneruskan hidup dengan positif, kongsi Elyana, kadang kala kata-kata sahaja tidak mampu menjelaskan apa makna sebenar perjuangannya.

 

Justeru, mahu membuktikan yang dia tidak sekadar bercakap kosong, kali ini Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 31, mahu merealisasikan impiannya sejak sekian lama.

“Saya akan mengadakan konsert Elyana Jadi Diriku 19 Live In Concert pada 6 Julai depan. Ini impian terbesar saya setelah sekian lama menjadi penyanyi.

“Sepatutnya juga saya perlu melakukan rawatan kemoterapi tetapi saya tunda dahulu dan hanya akan meneruskan rawatan selepas konsert.

“Bukan bermakna saya mengetepikan kesihatan , tetapi dalam keadaan ini keluarga memberi sepenuh sokongan kerana mereka yakin tiada apa yang lebih penting untuk saya dari menikmati hidup yang sebelum ini banyak saya korbankan kerana penyakit ini,” jelasnya positif.

Hampir 19 tahun bergelar seorang penyanyi, Elyana melihat konsert ini juga sebagai antara memori yang mahu dia cipta sebagai seorang penyanyi bukan sahaja untuk dirinya tetapi keluarga dan peminat.

“Saya rasa mana-mana penyanyi juga mengimpikan sebuah konsert. Saya juga sama, lebih-lebih lagi sudah menyanyi sejak umur 15 tahun. Jujurnya ini adalah memori yang mahu saya cipta.

“Mungkin kalau anak atau suami saya rindu suatu hari nanti, boleh menonton kembali konsert ini. Bukan mereka sahaja peminat juga boleh menonton kembali,” katanya yang merupakan pesakit kanser limfoma tahap empat.

Kurang beberapa bulan lagi untuk konsert ini, kata Elyana cabaran terbesarnya adalah untuk memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik pada hari konsert berkenaan.

“Dalam keadaan sekarang saya mahu pastikan tahap kesihatan saya baik sampai ke hari konsert.

“Bukan apa dalam keadaan sekarang memang mudah sangat untuk saya dijangkiti sebab itu kena sangat berhati-hati,” katanya yang berkahwin dengan Khairul Anuar Hussin, 42, dan mempunyai anak perempuan Cinta Sumayyah, 8 tahun.