Meski masing-masing pernah terhimpit dengan pelbagai kisah dengan wanita, itu bukan penamat kepada segala-galanya. Saat Zizan masih dikait dengan beberapa nama, Awie pula tenang menghadapi kemelut rumah tangga yang belum berakhir.

Tidak pernah patah semangat dengan perkara tersebut, kedua-dua mereka enggan terus merumitkan keadaan sementelah satu persatu tawaran kerja menanti terutama dalam mendepani pementasan teater Bikers Kental yang kini sedang dipentaskan di Istana Budaya .

Sepakat menolak ke tepi masalah yang ada kepada Pancaindera, Zizan dan Awie berkongsi rasa dan harapan.

Ketenangan Zizan

MELIHATKAN kembali perjalanan seni lelaki ini, tahun lalu menyaksikan namanya terpalit dengan pelbagai kontroversi. Pastinya isu wanita melatari perjalanan seni Zizan.

Menganggap perkara tersebut bukan hal yang manis untuk dikenang, Zizan optimis yang hidupnya perlu bergerak lebih baik berbanding hari semalam. Tambah lelaki asal Terengganu ini lagi, fokusnya bukan lagi untuk mencari siapa wanita terbaik sebaliknya mahu menjalani kehidupan dengan baik sahaja.

“Kalau ditanya soal wanita, saya sebetulnya enggan lagi memikirkan tentang perkara itu. Bagi saya cukuplah sekarang saya memberikan tumpuan kepada kerjaya, perniagaan dan membahagiakan ibu saya sendiri.

“Saya tahu itu yang terbaik. Membahagiakan ibu dan keluarga lebih memberikan kepuasan sebenarnya. Bukan bermakna saya menganggap wanita (teman wanita) merimaskan tetapi biarlah kena pada waktunya.

“Soal jodoh dan dengan siapa saya mahu berkahwin biarlah masa sahaja yang menentukan. Yang penting saya lebih matang dalam menjalani kehidupan pada masa depan ,” kata Zizan memulakan cerita.

Meskipun perspektifnya mengenai wanita sudah berubah, dia tidak pernah kesal dengan kontroversi dan kisah panas yang pernah mengaitkannya dengan beberapa nama sebelum ini.

Bagi perkara tersebut adalah pelajaran terbesar dan tiada keraguan lagi memandangkan semuanya diambil sebagai ilmu kehidupan dan panduan untuk menjadi orang yang lebih baik.

“Dalam apa-apa isu sebelum ini, saya tidak pernah mencari salah sesiapa. Yang berlaku kepada saya dan mereka (beberapa wanita yang dikaitkan), saya ambil pendirian dengan menyalahkan diri sendiri sahaja.

“Dari situ saya mula belajar mengenal diri sedikit demi sedikit dan memperbetulkan nya. Sebagai orang biasa, saya juga bertaubat dan enggan mengulang kembali segala kesilapan,” katanya kesal.

Teruja

MELALUI fasa 2016, pastinya Zizan mengharapkan tuah dan sinaran terus mewarnai kerjaya seninya. Akur dengan kehidupan anak seni yang ada pasang dan surutnya, dia seboleh-bolehnya mengharapkan kejayaan lebih besar akan diraih pada tahun ini.

Terbaru, dia yang bergandingan dengan Awie, Amerul Affendi, Nadia Brian, Kamarul Yusof, Pawika dan beberapa pelakon lain sedang menghangatkan pentas Istana Budaya dengan pementasan teater Bikers Kental.

Pastinya ada kelainan dan pembaharuan yang dilakukan oleh pihak produksi saat memilih persembahan secara langsung yang diadaptasi daripada filem yang pernah ditayangkan tiga tahun lalu itu.

“Pada awalnya saya masih berfikir sama ada untuk menerima atau tidak memandangkan jadual seni saya yang padat. Tapi bila mengenangkan kembali filem berkenaan, tiada sebab untuk saya menolaknya.

“Tambahan pula pelakon yang terlibat juga merupakan nama-nama yang besar, membuatkan saya membulatkan tekad untuk meneruskannya. Insya-Allah ada kelainan yang dapat ditonton menerusi naskhah ini,” katanya ketika ditemui Rabu lalu.

Bikers Kental yang dipentaskan bermula 23 hingga 31 Januari ini diarahkan oleh Nazrul Asraff Mahzan lebih tertumpu kepada kisah kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Menerusi naskhah filem, Bikers Kental bercerita kisah perjalanan (road movie), semangat setia kawan dan persahabatan sesama ahli walaupun berada di mana sahaja.

Jelas Zizan, hampir 70 peratus plot teater akan bertukar ganti daripada naskhah filem untuk menyesuaikan dengan keadaan pentas Istana Budaya tetapi masih mengekalkan identiti Bikers Kental berkenaan.

Harapan Awie

JIKA dibukukan, mungkin kisah yang pernah terjadi sepanjang bergelar anak seni tidak terhitung jumlah muka suratnya. Bermula dengan perjalanan seni keluar masuk sebagai vokalis Wings, diterima sebagai pelakon, kisah cinta, isu perkahwinan dan penceraian sudah menjadi ‘makanan’ sepanjang 31 tahun bergelar anak seni.

Menariknya Awie tidak pernah statik dan berada pada tahap yang sama. Dia sentiasa bergerak dari satu fasa ke fasa yang lebih baik seiring dengan kematangan usia dan kerjaya seninya.

Berjaya menguruskan beberapa projek berskala besar seperti Konsert Teaterikal Suara Kita bersama-sama Ziana Zain dan Erra Fazira dua tahun lalu, momentum itu diteruskan dengan penglibatan Konsert Ulang Tahun Wings ke-30 pada September dan Disember lalu.

“Sebenarnya untuk tahun ini saya sudah merancang beberapa perkara yang harus dilakukan. Jika sebelum ini saya berjaya menganjurkan beberapa acara, insya-Allah kali ini saya mahu cuba berniaga memandangkan bidang tersebut belum diceburi.

“Bukan bermakna saya mahu meninggalkan bidang nyanyian dan lakonan tapi saya perlu mencuba melakukan perkara baharu. Setidak-tidaknya saya tidak akan terus berada dalam zon selesa,” katanya.

Akui Awie, dia teruja untuk mencuba skop kerja baharu termasuk dalam bidang penerbitan dan yakin dengan impian itu berdasarkan pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan seninya itu.

Ketika ditanya tentang teater Bikers Kental, Awie ternyata gembira kerana akhirnya filem berkenaan diadaptasi kepada naskhah teater yang masih berkisar tentang kehidupan penunggang motosikal berkuasa besar.

Dia yang sudah sinonim dengan motor besar menganggap Bikers Kental menaikkan lagi moral setiap penunggang apabila memaparkan banyak perkara yang tidak diketahui umum.

“Apabila bercakap soal motor besar, orang akan ingat saya. Bagaimanapun sejak 1990-an dan sepanjang tempoh ini, tak ramai yang benar-benar mengetahui tentang kelompok penunggang motosikal berkuasa besar melalui filem dan teater.

“Sebab itu saya teruja untuk terlibat sama. Meskipun jalan cerita tidak seratus peratus sama (dengan filem), itu bukan hal yang besar asalkan mempunyai mesej yang baik dan mampu menjadi teladan,” katanya.

Malah Awie menganggap kekuatan Bikers Kental harus dilihat oleh peminat adalah kerana golongan ini menitik beratkan peraduan dan semangat setia kawan yang tinggi.