Bagi gadis berusia 23 tahun ini, kesilapan lalu bukan sahaja memberi satu pengajaran dan pengalaman berharga buat dirinya selain lebih mendewasakannya kini.

“Rasa lebih bebas tanpa cinta,” katanya yang juga merasakan tanpa sebuah cinta pada hari ini membuatkan dia punya lebih masa terluang untuk diri sendiri.

“Tak perlu lagi memeriksa telefon berulang kali. Lebih penting masa ini memberi peluang untuk saya fokus kepada kerjaya,” tambahnya.

Tidak berselindung mengenai hubungannya yang putus di tengah jalan dengan aktor kacak Zul Ariffin, jelas Zahirah, ada kesilapan yang dilakukan sewaktu sedang mabuk bercinta.

Antaranya tentu sekali apabila dia tidak bersungguh-sungguh dalam mengemudi karier lakonan biarpun namanya semakin mewangi.

“Waktu itu juga (bercinta), saya ambil mudah semua perkara termasuk tawaran yang datang kerana merasakan pasti (akan) ada peluang lain,” katanya lagi.

Mengakui tiada sekelumit penyesalan dengan cinta yang tidak menjadi itu, bagi Zahirah, kesilapan tersebut bukan sahaja memberinya peluang untuk menjadi seorang wanita yang berbeza hari ini.

Malah ayahnya, aktor Zainol Macwilson yang sebelum ini sangat menentang hubungan cinta dengan Zul juga gembira dengan keadaannya.

“Sebagai seorang ayah, saya yakin dia hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya. Dia mesti mempunyai sebab tertentu untuk menentang hubungan tersebut.

“Dan mengenai diri saya pula, kalau dahulu saya meletakkan diri sebagai Fika (watak yang dimainkan dalam drama bersiri popular ketika ini, Jangan Benci Cintaku) yang lembut hati dan cepat kasihankan orang, tetapi kini saya lebih berani dan tentunya lebih lantang bersuara dalam hubungan akan datang,” jelasnya dalam nada tegas.

Cukup positif bercakap mengenai cinta baharu yang mungkin akan bertandang, sudah ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi bakal kekasihnya selepas ini.

“Buat masa ini saya masih solo. Fokus tahun ini hanya untuk kerjaya.

“Bagaimanapun jika ada kekasih, dia mestilah seorang yang menghormati ibu bapa saya, karier saya dan yang terakhir mestilah seorang yang memahami,“ tambahnya.

Elak watak antagonis

TIGA tahun mengemudi kerjaya dalam dunia seni, kesungguhan Zahirah Macwilson dalam lakonan semakin utuh dan namanya sudah sebaris dengan pelakon wanita popular lain biar pun awal kemunculan, dia juga tidak terlepas dengan kritikan.

Mengakui masih belajar dan mahu terus memperbaiki mutu lakonan, Zahirah juga terbuka menerima kritikan yang disifatkannya sebagai satu aspek untuk menjadi lebih baik.

“Tidak mudah terima kritikan tetapi itu demi masa depan kerjaya,” katanya yang mengakui turut teliti dalam menerima sesuatu tawaran terutama kualiti sesebuah naskhah.

“Saya harus akui memang agak cerewet dalam menerima tawaran. Saya tidak mahu orang ketawakan saya dengan memilih naskhah yang bukan-bukan. Malah tajuk drama juga antara kriteria yang saya lihat.

“Watak pula saya tidak mahu membawakan watak antagonis sebab saya tidak mampu membawakan watak sebegitu,” tambahnya.

Dalam pada itu, meniti populariti sementelah ketika ini drama lakonannya, Jangan Benci Cintaku sedang meledak di kaca televisyen, kecantikan yang dimiliki juga membuatkan dirinya menjadi buruan produk kecantikan.

Kini bergelar duta produk kecantikan Meeracle, gadis yang dibesarkan di Australia ini dan memiliki ijazah dalam Pengurusan Sumber Manusia mengakui, dia memang agak skeptikal dengan produk kecantikan keluaran tempatan.

“Dulu saya pun agak skeptikal dengan produk kecantikan jenama tempatan. Tapi apabila Meeracle mendekati saya dan meminta saya untuk mencuba selama dua bulan, saya akui produk ini sangat bagus untuk kulit.

“Saya sangat teliti dengan apa yang saya kongsikan dengan peminat. Kalau tidak berkesan, saya tak akan menerima tawaran menjadi duta.

“Sebelum ini pun ada pihak lain yang mendekati saya untuk menjadi duta produk mereka. Bagaimanapun saya terpaksa tolak kerana saya mahu menjadi duta kepada produk yang benar-benar saya yakini,” jelasnya.