Menurut vokalis kumpulan Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar Abdul Rahman, 28, semuanya bermula apabila dia bertemu dengan isterinya Aida Azira Husin,28, yang juga wartawan ketika itu di majlis hiburan.

“Saya memang suka lihat dia, cantik dengan rambut berombak lebat itu jadi saya suka ganggu dia.

“Memandangkan saya begitu (suka mengusik) jadi dia tidak berapa suka dengan saya pada awalnya. Malah dia tidak akan ke majlis hiburan yang membabitkan Bunkface kerana tidak mahu bertemu saya,” katanya.

Lama kelamaan tanpa dijangka ada cinta yang wujud di antara mereka. Setelah hampir lima tahun berkenalan akhirnya ikatan perkahwinan kini mewujudkan fasa berbeza buat mereka berdua.

Bagaimanapun ada yang tertanya adakah Sam sebelum ini menyorok kisah cintanya daripada pengetahuan umum.

“Kami tidak pernah menyorok tentang hubungan kami, cuma kami tidak terlalu berkongsi sangat mungkin ada yang tidak tahu.

“Sama seperti pasangan kekasih lain kami juga meluangkan masa bersama tidak ada mahu sorok-sorok,” katanya.

Mungkin ada yang melihat dari muzik yang dicipta Sam dia nampak sedikit keras. Bagaimanapun balas Sam perjuangan muzik yang dibawa tidak memberi gambaran sebenar dia sebagai seorang lelaki.

Jelasnya, dia percaya perkahwinan ini akan membawa dia ke fasa berbeza.

“Bila berkahwin kita ada tanggungjawab dan saya percaya fasa ini memang dinanti mana-mana lelaki.

“Saya dan Aida sendiri sudah bersedia ke arah itu dan kami percaya hanya melalui pengalaman dapat membantu kami,” katanya.

Sam menyifatkan Aida sebagai seorang yang memahami dan pandai menjaga hatinya.

Malah katanya tiada yang lebih utama untuk mengetahui isterinya itu juga sangat menghargai muzik yang dibawa Bunkface.

“Kami mempunyai minat yang sama, sebab itu mudah untuk bersama. Dia suka mengembara sama seperti saya malah sikapnya yang ringkas berjaya menambat hati saya.

“Aliran muzik yang saya bawa tidak akan berbeza, namun mungkin ada yang saya mahu kongsi melalui muzik saya mengenai isteri saya kelak,” katanya.

Aida tidak gentar kontroversi

Sewaktu bercinta lagi sudah ada gambar mereka yang tersebar di laman sosial. Namun itu dilihat Aida hanya sebagai asam garam dalam dunia hiburan yang diceburi suaminya. Tidak melatah mahu pun marah, dia yakin sudah bersedia menerima apa sahaja cabaran mendatang.

“Saya tidak marah, malah Sam juga fikir itu benda biasa sahaja.

“Saya dan dia lebih pentingkan apa yang mahu kami capai dalam hubungan kami. Syukur dengan perkahwinan ini saya impikan sebuah kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sebagai isteri dia yakin tugasnya sentiasa memastikan suaminya itu mendapat sokongan sepenuhnya. Menolak bakal menguruskan kerjaya suaminya selepas ini, namun jelas Aida dia sebenarnya lebih senang untuk sentiasa berada di samping Sam. Kata Aida dia akan meneruskan tugasnya sebagai penerbit program televisyen TV3 memandangkan mendapat izin suaminya itu.

“Saya tidak kisah dengan karier yang dia ceburi memandangkan kami kenal pun sewaktu dia sudah bergelar penyanyi. Cuma saya akan menyokong apa juga pilihan dia.

“Sam juga tidak meminta saya untuk berhenti kerja, jadi saya akan terus bekerja. Cuma ada tambahan tanggungjawab kepada dia, sebab saya tahu sebagai isteri keutamaan saya tentunya kepada suami,” katanya.

Mengenali Sam di atas pentas dan melalui lagunya mungkin berbeza. Berkongsi sifat Sam, jelas Aida sebenarnya suaminya itu adalah seorang yang romantis.

“Selain seorang suami yang memahami antara sifat terselindung Sam yang orang luar tidak tahu adalah dia seorang yang romantis.

“Cuma soal makan kami berbeza sedikit, dia tidak suka pedas tetapi saya tidak boleh makan kalau makanan itu tidak pedas,” katanya.