Tampil dengan busana indah serba putih, penyanyi antarabangsa, Yuna terlebih dahulu meminta maaf atas kelewatannya. Sambil memeluk lengan suaminya, Adam Sinclair, mereka mengambil tempat di atas pelamin.

Jujur daripada mata kasar penulis, mereka memang diciptakan untuk berdua. Sesekali mata mereka terkunci melihat satu sama lain, seraya tersenyum. Terdetik di hati penulis inilah cinta terbaik untuk mereka.

Tidak banyak soalan panas yang dilontar. Biarpun majlis pernikahan mereka malam Jumaat lalu mencetuskan pelbagai tanda tanya namun senyuman mereka seolah-olah menenangkan semua pihak.

Tiada niat untuk merahsiakan majlis pernikahan, Yuna atau Yunalis Mat Zarai sebenarnya sudah lama mengunci impian untuk mengadakan majlis serba ringkas dan peribadi.

Lantaran itu, bersaksikan kabus dingin dan awan berserta alam kehijauan yang cukup terbentang luas, mereka diijab kabul dengan sekali lafaz di hadapan kaum keluarga dan sahabat terdekat.

“Saya dan suami memang mengimpikan satu majlis sederhana yang hanya dihadiri oleh kaum keluarga kedua-dua belah pihak dan juga sahabat-sahabat baik kami dari dalam dan luar negara.

“Lagipun mengenali diri ini, saya lebih suka kepada kehidupan yang peribadi. Saya terbuka apabila berkongsi perkembangan kerjaya namun kalau peribadi, maaf saya bukan berniat untuk berahsia.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan saya kini isteri kepada Adam Sinclair. Saya berterima kasih kepada semua peminat yang terus menerus menghantarkan kiriman doa kepada kami berdua,” kata penyanyi berusia 32 tahun ini.

Tergambar wajah gembira yang dari riak penyanyi lagu Terukir Di Bintang ini tatkala diminta bercerita tentang majlis pernikahannya. Masakan tidak, menatap gambar sahaja sudah membuatkan ramai hati yang memuji keindahan majlis tersebut.

Dengan kabus menjadi latar belakang, Yuna mengucapkan rasa syukur kerana majlis yang dirancang menjadi kenyataan. Biarpun hujan turun membasahi bumi namun semua itu diumpama satu keberkatan yang tidak ternilai dari Yang Maha Esa.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar. Kami sepatutnya bernikah lebih awal namun disebabkan hujan terpaksa juga kami menunggu. Rakan-rakan dari Amerika Syarikat dan Malaysia juga ada bersama-sama.

“Malam Ahad pula merupakan majlis resepsi dan rakan-rakan artis antarabangsa seperti Dev Duron hadir. Mungkin ramai yang mahukan Usher untuk datang bukan? Dia tidak ada.

“Kalau nak tanya siapa artis paling popular, saya rasa pastilah pelakon terkenal, Ashraf Sinclair dan juga Bunga Cinta Lestari,” selorohnya mengusik Adam yang juga merupakan adik kepada pelakon lelaki itu.

Diaju soalan, adakah Yuna bakal menetap di Los Angelas (LA) selepas ini, penyanyi lagu Cinta Sempurna itu hanya tergelak kecil. Seraya tersenyum, dia tenang menjawab kerjaya di negara Uncle Sam itu baru sahaja bermula.

Tidak mahu mengiyakan soalan itu, Yuna bagaimanapun akan terus mengembangkan sayap seninya dan tidak mahu meletakkan berapa tahun dia bakal menetap di negara tersebut.

“Saya sudah tinggal di LA lebih kurang lapan tahun dan saya selalu ulang alik ke sini. Saya masih ada karier, keluarga dan rakan-rakan di sini.

“Selepas kahwin ini, pasti kami akan mencari solusi terbaik. Sebelum ini kami berjaya dengan cinta jarak jauh, sekarang semestinya saya mahu suami sentiasa di sisi.

“Lagipun Adam seorang pengarah yang cukup hebat dan berbakat. Pastinya kami akan lebih banyak bekerja bersama, jadi di situ kami akan selalu bersama setiap masa” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini.
 - Gambar YUNA RECORDS

Mahu fokus kerjaya

Soal anak pastinya menjadi tumpuan pasangan baharu berkahwin. Tidak menolak untuk meninang cahaya mata dalam masa terdekat, Yuna bagaimanapun mahu memberi fokus kepada kerjayanya terlebih dahulu.

Bagi penyanyi lagu Crush ini, status isteri tidak akan memperlahankan langkahnya dalam merencana perjalanan kerjaya di negara Uncle Sam yang semakin bersinar hari demi hari.

Malah Yuna juga mengumumkan dia bakal melancarkan album baharunya pada Jun nanti dan bakal mengadakan siri jelajah di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia tidak lama lagi.

“Fasal zuriat, kita serahkan kepada rezeki. Lagipun album baharu akan dilancarkan lepas Aidilfitri nanti dan saya akan sibuk dengan siri jelajah selepas itu. Saya memang mahukan anak tapi kita tengok dulu macam mana,” katanya.

Membuka gelanggang cerita tentang suaminya, mata Yuna pantas menjeling manja. Riak wajah nakal untuk mengusik Adam mengundang gelak tawa rakan media yang menjadi saksi cinta mereka di majlis sidang akhbar tempoh hari.

Memahami dan sangat santai dalam bekerja membuatkan hati Yuna terus mahu mengenali lelaki itu dengan lebih mendalam. Malah mereka sebenarnya berkongsi minat dan ciri-ciri hidup.

“Hari pertama jumpa di set penggambaran, memang saya sedikit resah dan lari mood. Tapi Adam sangat bijak untuk buat saya rasa selesa dan selamat berada di sampingnya.

“Dari situ, saya berminat untuk mengenali Adam dengan lebih lagi. Sekarang, dia tidak hanya seorang suami tetapi sahabat baik yang sentiasa ada di saat suka ataupun duka.

“Dia sangat menyokong saya dan saya fikir, jarang sekali untuk kita berjumpa dengan lelaki sehebat Adam. Dia sangat tersendiri dan istimewa. Saya sudah suka dia pada hari pertama kami jumpa,” katanya.

Diusik pernahkah dia menulis lagu yang berkisar tentang cinta hatinya itu, Yuna sebenarnya pernah meluahkan rasa bahagia dan cinta menerusi lagu Best Love yang terkandung dalam album Chapters.

Masih belum menetapkan destinasi bulan madu. Yuna dan Adam cuma merancang untuk berbulan madu di Amerika Selatan namun sebenarnya, terlalu banyak destinasi yang ingin dikunjungi mereka.

Yuna istimewa di hati saya – Adam

Mula menjalinkan hubungan sekitar 2015, bagi Adam atau Adam Yousof Mohamed Sinclair, wanita bernama Yuna itu cukup istimewa di hati lelakinya. Memiliki segala ciri-ciri wanita impian, Yuna menyempurnakan hidup Adam.

Bercerita tentang perkara yang membuat hatinya terbuka untuk menyunting bunga di taman, Adam menyifatkan Yuna sebagai seorang yang hebat. Tertarik dengan sifat jiwa hamba, hati lelaki berusia 34 tahun itu terus terpaut.

“Kami berkenalan ketika sama-sama terlibat dalam penggambaran iklan. Ketika itu, Yuna baru sahaja pulang dari LA dan moodnya ketika itu sedikit lari daripada landasan.

“Lagipun saya sudah menjangka yang dia akan hilang mood tapi bila bersua dengannya, saya rasa dia seorang yang cukup memahami. Dalam beberapa ketika, kami sudah berbual tentang cerita hantu.

“Satu hari yang cukup kritikal dengan kekangan masa tapi kami berdua berjaya menyiapkan penggambaran dengan jayanya. Sejak hari itu, kami sentiasa berhubung dan akhirnya mengikat cinta dengan pernikahan ini,” katanya yang disambut dengan senyuman sang isteri di sebelah.

Bergelar suami kepada seorang bintang antarabangsa, pastinya sedikit sebanyak percikan populariti dan perhatian itu akan hadir menjengah ke dalam diari hidup adik kepada pengacara, Aishah Sinclair ini.

Mengakui sudah terbiasa dengan perhatian dan lensa kamera kerana bergelar adik kepada dua selebriti, Adam memahami dan tidak terkejut seandainya kehidupannya selepas ini menjadi perhatian umum.

“Bagi saya itu perkara biasa kerana peminat sentiasa ingin mengetahui perkembangan artis mereka. Lagipun, peminat Yuna tidak akan mengganggu kehidupan peribadi, jadi itu bukan satu masalah.

“Sebelum kenal Yuna pun, saya sudah terbiasa dirapati orang ramai apabila keluar dengan Ashraf atau Aishah” katanya yang merupakan seorang pengarah iklan dan komersil.

Ditanya apakah lagu cinta hatinya yang benar-benar disukai, tanpa berfikir panjang, Adam pantas menamakan Lullaby dan Summer Of The Time sebagai lagu kegemarannya.

Bersedia menghadapi cabaran rumah tangga, Adam bagaimanapun akan meneruskan kehidupan seperti biasa sama seperti zaman percintaan mereka malah Adam tidak pernah ralat untuk berhubung menerusi panggilan Whatsapp dan Skype.

“Sebelum ini pun, kami selalu bekerja bersama jadi itu akan diteruskan seperti biasa. Saya pun akan selalu ke LA untuk bersama isteri. Saya rasa tiada yang berubah, semuanya sama seperti sebelum ini.

“Saya tahu, banyak cabaran yang bakal ditempuh tetapi kami berjaya selama beberapa tahun bercinta. Semuanya akan jadi baik-baik sahaja. Kami akan mencuba untuk sentiasa ada di sisi masing-masing,” katanya.