Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Cinta sejati Neelofa

Cinta sejati Neelofa 3

INI bukan kali pertama penulis bersua bicara dengan pengacara cantik, Neelofa. Namun ramai yang memuji dia semakin matang dalam mengendali ‘serangan’ soalan-soalan panas.

Yang jelas terlihat di relung matanya, kebahagiaan yang tercermin daripada senyuman manis yang tidak henti-henti terukir pada bibir. Gayanya seperti sedang diulit cinta, andaian penulis sahaja.

Bagi anak kelahiran Kelantan ini, cinta itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai makna. Dia tidak mahu meletakkan pengertian cinta itu hanya tertumpu kepada perasaan antara dua kekasih.

Selagi boleh dia tidak mahu terus berbicara tentang cinta. Namun dia harus mengakui, fenomena #LoFattah masih belum mampu ditandingi oleh pasangan selebriti tempatan lain.

Tampil dengan video baharu sempena koleksi raya Naelofar Hijab True Love, Neelofa sekali lagi mencetuskan persoalan siapakah lelaki yang dimaksudkan dalam jalan cerita kempen baharu itu.

Ceritanya dilihat hampir sama dengan kisah #LoFattah. Tatkala disoal Neelofa pantas menafikannya. Dia memberi kebebasan kepada penonton untuk membuat andaian sendiri.

“Saya tidak dapat menghalang peminat untuk mentafsirkan video itu mengikut pemahaman masing-masing. Mereka mempunyai hak dan pandangan sendiri. Saya terima dan tidak kisah.

“Jika ada yang mengaitkan video itu adalah kisah saya dengan Fattah, saya tidak boleh menghalangnya. Yang saya boleh katakan, video ini hanya diinspirasikan daripada pengalaman cinta saya.

“Kalau seratus peratus sama, itu tidak. Ada benda yang perlu saya simpan sendiri. Seperti yang saya cakap, terpulang kepada sesiapa yang menonton video itu untuk mengulas,” katanya.

Ditanya tidakkah video tersebut seolah-olah memberi harapan kepada peminat #LoFattah, pengacara MeleTop itu diam membisu buat seketika. Dia tidak mahu terburu-buru menjawab.

Baginya, dia sendiri tidak tahu siapa yang merajai hatinya suatu hari nanti. Sama ada Fattah atau orang lain, dia hanya mampu menyerahkan soal itu kepada Tuhan.

“Memang pengakhiran video itu tergantung. Begitu juga dengan hidup, saya sendiri tidak tahu siapakah jodoh saya. Kalau tanya berulang kali pun, jawapannya tetap sama,” katanya.

Letak sasaran tinggi

Seperti pengeluar produk tudung yang lain, Neelofa juga meletakkan harapan tinggi supaya kempen Naelofar True Love ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

Dia juga memberitahu, sebanyak 288,566 helai tudung dikeluarkan untuk kempen baharu itu. Malah sekiranya mendapat sambutan dia juga akan menyambung untuk keluaran kedua.

“Seperti biasa, kami memang meletakkan harapan tinggi setiap kali keluar dengan kempen baharu. Kami masih mengekalkan konsep minimalis dalam setiap rekaan.

“Cuma kami tampilkan perbezaan terutama dari segi penggunaan kain dan warna serta taburan batu Swarovski. Kami mahu pengguna selesa dengan kualiti dan rekaan kami,” katanya.

Ditanya adakah dia selesa menggunakan populariti drama dan kisah sensasinya sebagai strategi pemasaran, gadis cantik berusia 28 tahun ini sejujurnya tidak dapat menolak anggapan itu.

“Saya rasa setiap usahawan mempunyai strategi masing-masing. Saya lihat itu sebagai satu bonus dan berlaku secara kebetulan,” katanya.

Sambut raya di Mekah

Bakal mengerjakan umrah pada 8 Jun depan, pengacara popular ini juga mengumumkan akan menyambut hari raya pertama di Tanah Suci Mekah. Dia akan berangkat pulang ke tanah air pada hari raya kedua.

Biarpun sudah empat kali mengerjakan umrah, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya.

Malah dia mendedahkan pengacara Nabil juga akan berpuasa, sekali gus menyambut hari raya di sana dan pulang ke tanah air pada pagi hari raya.

“Memang sangat teruja dan tidak sabar. Ini kali pertama saya akan berpuasa dan insya-Allah, beraya di sana. Pengalaman ini pastinya sangat berbeza dengan yang pernah dilalui.

“Saya pernah berniat, kalau boleh bila ada kesempatan waktu dan wang saya hendak pergi mengerjakan umrah dan meminta izin daripada ibu.

“Insya-Allah, saya mohon doa semua peminat semoga perjalanan di sana dipermudah. Malah inilah masa untuk saya mengambil peluang untuk berehat dan melepas rindu beribadah di sana,” ujarnya.

Jelas pelakon ini, dia sebenarnya terlibat dengan sebuah rancangan realiti yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Namun dia tidak boleh mendedahkan butiran lanjut tentang program itu.

“Selain umrah sebenarnya saya ada program yang perlu dirakam di sana.

“Tapi saya tidak boleh bercakap berkenaan program itu lagi, nanti bila tiba masa sesuai saya akan kongsikan,” katanya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan