Bukan tidak pernah belajar daripada kesilapan, namun dia percaya dengan perkenalan dua hati yang sedang dibina ini pasti wujud jodoh yang bakal membawa ke satu titik bahagia.

Namun, cukuplah perjalanan hubungan dalam fasa perkenalan dengan seorang jejaka tika ini hanya diketahui oleh mereka berdua. Pelakon drama Teduhan Kasih ini enggan menguar-uarkan untuk pengetahuan umum.

“Apa yang boleh saya kongsikan adalah dia seorang lelaki Melayu dan warganegara Malaysia. Saya tak nak cakap banyak tentang perkara ini kepada umum. Bagaimana perjalanan hubungan ini, biar masa saja yang menentukan.

“Selagi belum merisik atau bertunang, biarlah hubungan ini menjadi rahsia peribadi saya. Lagipun, sebagai wanita tidak manis jika terlalu berkongsi sesuatu yang belum pasti. Insya-Allah jika ada perancangan lebih serius atau sebarang majlis ditetapkan, saya pasti akan berkongsi,” katanya.

Tiada desakan daripada mana-mana ahli keluarga terutama ibu bapa, menurut bekas pramugari ini, dia sangat beruntung kerana dikurniakan pelbagai hikmah di sebalik dugaan yang menimpa selama ini.

Apa yang lebih melegakan hatinya, keluarga tidak pernah memaksa dan memberi tekanan supaya dia segera berkahwin.

“Kalau bercakap soal cinta, saya memang bukan orang yang bertuah. Setiap perkara yang berlaku sebelum ini sudah tentu saya rasa sedih. Namun apabila kita berserah segala-galanya kepada Tuhan, saya jumpa pelbagai hikmah di sebalik semua dugaan itu.

“Pada usia 35 tahun saya tetap rasa sangat bertuah. Saya anak sulung, adik kedua bakal berkahwin beberapa bulan lagi dan adik bongsu sudah berkahwin, namun ibu bapa tetap positif dengan perjalanan hidup saya,” luah Sherry yang menjelaskan pernah wujud rasa serik apabila memikirkan soal cinta.

Perniagaan

Cukup bercerita soal peribadi, Sherry kini aktif dalam perniagaan tudung miliknya iaitu Sherry Scarves. Sedang mengumpul material untuk koleksi baharu menjelang hari raya nanti, jelas Sherry, dia juga terpaksa melepaskan perniagaan Deeja Cosmetics yang diusahakan bersama rakan kongsinya sebelum ini atas sebab-sebab tertentu.

“Saya banyak belajar soal berniaga. Kalau dahulu saya bersama rakan kongsi memajukan perniagaan kosmetik, kini saya belajar untuk menguruskannya seorang diri dengan menggunakan jenama lain.

“Dalam perniagaan, kepercayaan adalah satu perkara yang paling utama. Daripada pengalaman dan pengetahuan sebelum ini, saya jadikan ia penguat untuk berjaya pada masa akan datang,” jelasnya. Sherry meminta agar tidak diumumkan dahulu perniagaan yang akan dijalankan, namun menjelaskan ia tidak jauh berbeza dengan perniagaan sebelum ini.

Kurang berlakon

Jujurnya, agak lama juga kelibat pelakon yang mula popular menerusi drama Dunia Baru ini tidak kelihatan dalam kaca televisyen. Dilihat seolah-olah sudah merajuk dengan dunia seni, Sherry juga kelihatan kurang menonjol dalam industri lakonan jika dibandingkan dengan pelakon seangkatan dengannya.

Asyik tenggelam timbul, ramai yang mula bertanya fokus pelakon ini lantaran dia juga kelihatan seperti sibuk menguruskan beberapa perniagaan miliknya.

Namun, ungkap anak sulung daripada tiga beradik ini, dia bukan tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon, tetapi cuba membuka mata untuk melihat dunia selain lakonan.

“Dunia lakonan ada generasinya, Kalau dulu kita di atas, sekarang sudah ramai pengganti. Namun, rezeki tetap ada cuma perlu dicari dengan lebih kuat dan gigih.

“Tak dinafikan tawaran lakonan agak berkurangan dan saya pula perlu melihat dahulu watak yang diberi. Kadang-kadang tawaran yang diberi tidak sesuai, bukan sahaja dari segi watak tetapi juga bayarannya,” jelas Sherry yang cuba menjengah bidang muzik beberapa tahun lalu.

Pernah bergelar naib juara menerusi program realiti nyanyian Gempak Superstar yang disiarkan di Astro Ria pada 2016, Sherry tidak mahu bakatnya dalam nyanyian terbiar begitu sahaja.

Merancang keluar dengan single terbaharu tahun ini, dia berharap peluang itu dapat menaikkan namanya dalam dunia muzik.

“Saya sudah berbincang dengan seorang komposer dan dia sudah bersetuju untuk menghasilkan sebuah lagu khas buat saya dan akan dilancar tahun ini juga. Cuma buat masa ini dia sibuk dengan beberapa urusan lain, jadi kami tangguhkan dahulu proses rakaman.

“Saya memilih lagu-lagu yang berentak pop, catchy dan lebih ‘happy’, tidak keterlaluan rentaknya agar bersesuaian dengan usia saya sekarang,” jelas Sherry.

Ubah muka?

Rajin memuat naik gambar ke dalam Instagram (IG) miliknya, ramai peminat mendakwa anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini telah membuat sedikit pembedahan wajah lantaran perbezaan ketara antara gambar-gambar yang dipamerkan itu.

Mempunyai wajah yang lebih runcing dan bibir yang lebih mungil, Sherry bagaimanapun keras menafikan dakwaan itu. Mengaku tubuhnya agak ‘berisi’ kebelakangan ini, Sherry menegaskan dia masih tahu hukum Islam yang melarang umatnya mengubah kejadian Allah.

“Ceritanya begini, sebelum perkara ini menjadi tular, saya telah melawat beberapa negara yang terkenal dengan rawatan pembedahan wajah antaranya Korea dan Thailand. Jadi, apabila mereka lihat gambar saya kelihatan lain dalam IG, maka warganet buat andaian yang saya ke sana untuk mencantikkan muka.

“Sebenarnya saya ke sana atas tujuan perniagaan, tiada kaitan dengan pembedahan muka. Apa yang mereka lihat dalam foto IG itu hanya teknik solekan, sudut gambar dan warna yang saya edit untuk mencantikkan gambar tersebut.

“Saya tidak membuat apa-apa pembedahan atau suntikan pada mana-mana bahagian wajah. Saya tahu berdosa kalau dengan sengaja mengubahnya,”jelas Sherry.

Letih menjelaskan soal berkenaan, akui Sherry dia tidak kisah dengan apa jua pandangan warganet terhadapnya walaupun jiwanya terusik apabila ada dalam kalangan ‘pendekar papan kekunci’ yang bukan hanya mengecam dirinya, malah turut melampiaskan perkara itu kepada ahli keluarganya yang lain.

“Saya bukan jenis orang yang cepat melatah. Sebelum ini pun, apa jua kata-kata kecaman yang dilemparkan kepada saya, semuanya masih terkawal.

“Saya marah kalau ia melibatkan keluarga dan menjatuhkan fitnah terhadap kami. Sebab itu tempoh hari saya terpaksa keluarkan status ‘amaran’ dalam laman IG supaya mereka tidak mengulanginya lagi,” jelas Sherry.