Menyoroti kisah lalu, selepas 19 tahun kemalangan ngeri itu, banyak sebenarnya yang mahu dikongsi pelakon ini. Bagaimanapun apa yang paling menarik perhatian Hits ketika ini adalah mengapa sehingga kini, dia masih sepi tanpa cinta. Tidak menolak untuk bercerita, kata Albaniah, kemalangan yang berlaku ke atas dirinya tidak sekadar mengubah haluan hidupnya tetapi juga pilihan buat anak tunggalnya, Syarra yang kini sudah berusia 20 tahun.

“Saya hanya sempat bercinta dengan arwah suami dalam dua tahun lebih, dan tempoh perkahwinan kami sebelum kemalangan itu adalah dua tahun. Jadi jumlah yang betul-betul cinta kami berputik tidak sampai lima tahun.

“Walaupun sudah hampir 20 tahun dia pergi, saya tidak bertemu lagi lelaki seperti dia. Malah perasaannya itu masih sama sebenarnya. Bukanlah tidak reda. Apa yang mahu saya gambarkan apa yang saya lalui sekarang,” katanya ketika hadir ke Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tidak mahu dia menipu, Albaniah turut memberitahu bagaimana minat arwah suami ketika itu sebagai pelumba kereta cukup membanggakan dirinya.

Sepanjang tempoh mereka bersama, dia sering menggambarkan kehidupannya ketika itu sebagai mencabar memandangkan sukan lasak ini pada ketika itu tidak ramai peminat.

“Saya mengenali dia sebelum saya popular lagi. Jadi, dia memang antara orang yang menyebabkan saya menjadi pelakon ketika itu. Mengenali dia, saya yakin kami melalui waktu-waktu terbaik bersama.

“Bagaimanapun bukan kemalangan itu yang saya kesal sebenarnya, tetapi pilihan beberapa orang yang mahu memutarkan fakta mengenai kemalangan itu,” katanya mengingati kembali kemalangan yang berlaku di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur 19 tahun lalu.

Menyusun semula memori selepas kemalangan tersebut untuk dikongsikan dengan Hits, Albaniah memberitahu, apa yang paling pedih untuk diingati dirinya adalah bagaimana kematian suaminya itu hanya diketahui selepas dua minggu di katil hospital.

Malah yang lebih menambah derita, sepanjang waktu itu juga anaknya Seri yang baru berumur dua tahun juga enggan mendampingi dirinya.

“Sukar sebenarnya mahu menerima kenyataan. Ada ketikanya saya menipu diri memberitahu apa yang berlaku ini hanya mimpi. Lama juga untuk saya ‘sihat’ dari keadaan itu. Kini melihat semula apa yang berlaku, saya yakin ujian Allah itu tidak sia-sia kerana saya semakin kuat, bukan sahaja sebagai seorang balu tetapi juga ibu tunggal.

“Tidak dinafikan selepas kemalangan itu ada yang menyebarkan khabar kononnya saya tidak lagi normal dan bakal meninggalkan dunia seni. Lama juga orang lihat saya tinggalkan dunia lakonan, tetapi ketika itu tidaklah saya terlalu terkilan sebenarnya memandangkan fokus saya lebih untuk membesarkan anak,” katanya.

Gambar SYEFRY MONIZ
Baju Keqaseh by Anas Abdullah
Solekkan Vee Muhammad

Ketika ini Albaniah sendiri sebenarnya mempunyai seorang zuriat yang mewarisi kecantikan dirinya. Memilih untuk tidak memberi kesempatan buat anaknya menyinar terlalu awal, tentunya ibu ini ada sebab tertentu.

“Anak saya kini memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan. Sebagai ibu memang itu yang saya mahu.

“Kalau ikutkan, memang ada darah seni yang mengalir dalam dirinya, namun saya minta dia teruskan pengajian dirinya dahulu sebelum mahu bergelar bintang, bukan apa ini soal masa depan,” katanya.

Walaupun melalui sendiri pahit getir bergelar seorang anak seni, itu tidak menyebabkan dia mahu memburukkan bidang ini di hadapan anaknya. Tidak membantah sekiranya anaknya ini memilih untuk mengikut jejak langkahnya, katanya semuanya akan berlaku jika sudah ditentukan.

“Sebagai pelakon saya lalui sendiri waktu bila tiada tawaran, dengan kematian suami bayangkan ketika itu saya putus pendapatan diri. Itu merupakan antara pengalaman yang pernah saya lalui. Sebab itu saya mahu anak saya melalui kehidupan yang berbeza.

“Saya tidak marah untuk dia menceburi bidang ini suatu hari nanti, tetapi dengan pendidikan yang dia ada kini, ada pilihan untuk dia jika bidang ini tidak menjadi kelak. Bagaimanapun sebagai seorang ibu saya sebenarnya cukup bersyukur untuk membesarkan anak saya dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Dilontar pelbagai makian di laman sosial menerusi penampilan terkini, tidak ada rasa menyesal untuk pelakon yang sudah lebih 10 tahun membabitkan diri dalam industri ini. Bersikap selamba, kata Albaniah, berbeza dengan cara artis dahulu, mereka lebih suka bersikap tenang dalam menghadapi sebarang kontroversi.

“Saya tidak fikir pakaian saya terlalu seksi. Mungkin apa yang diterima mereka itu tidak menepati apa yang mereka ini mahu. Jadi saya tidak perlu melatah sebenarnya sebab saya tahu apa yang saya lakukan.

“Bercakap soal baju, apa yang boleh saya katakan membesar dengan seorang anak remaja, saya lebih suka menjadi rakannya. Jadi pakaian saya juga pengaruh daripada dia,” katanya.

Membezakan kontroversi yang pernah dihadapinya, ini bukan kali pertama buat ibu tunggal ini dipanaskan dengan kisah pakaian seksi.

Kata Albaniah suatu ketika dahulu dia juga pernah berhadapan dengan perkara yang sama cuma di zaman moden ini penangannya lebih teruk memandangkan perkongsian mereka seperti mempunyai batas.

“Kalau dahulu gosip hanya dikeluarkan melalui majalah, jadi orang akan bercakap benda yang sama dalam waktu yang agak panjang, kadang-kadang sebulan dua juga masih belum reda.

“Berbeza dengan zaman sekarang selang seminggu pasti ada yang baharu dan membuatkan orang lupa gosip terdahulu. Bagaimanapun komen yang diutarakan sebenarnya memang menyakitkan hati, tetapi saya tidak suka ambil pusing soal itu,” katanya.

Benar tiada siapa yang dapat menggantikan tempat arwah suaminya, malah sehingga kini dia turut meletakkan lelaki itu sebagai insan terbaik yang pernah dia kenali. Bukan soal mahu mencari yang karektor lelaki yang sama, tetapi belum ada kesempatan lagi untuk hatinya terbuka menerima cinta baharu.

“Setiap kali berdoa kepada Allah, saya akan rasa dia cukup dekat dengan saya. Selepas 19 tahun memori yang kami cipta masih segar bersama, bagaimana saya boleh menerima cinta baharu? Bukanlah saya mahu mencari yang sama seperti dia, cuma apabila kita bercakap soal hati ia adalah sesuatu yang sukar sebenarnya untuk diterjemahkan,” katanya.

Meletakkan diri sebagai manusia biasa, dia juga pernah berharap untuk kembali menemui hubungan baharu. Bagaimanapun selepas beberapa ketika mencuba, dia yakin apa yang perlu dilakukan dirinya kini hanya berdoa agar diberikan yang terbaik.

“Bukan tidak pernah, jujur saya katakan pernah mengenali seseorang dahulu, tetapi mungkin tiada jodoh di situ.

“Dan kini selepas hampir tujuh tahun tanpa sesiapa, saya tidak merasakan sebarang kerugian juga, apa yang penting kehidupan saya kini cukup selesa dengan anak saya,” katanya.