Lagu berentak pop dangdut/ techno dangdut ciptaan Ully Ramdhan dan lirik oleh Muhaji Karim dan Ully Ramdhan itu kini rancak diputarkan di 30 stesen radio di negara jiran, biarpun hanya kira-kira sebulan diperkenalkan.

Terbaharu, lagu itu turut dimainkan di beberapa corong radio tempatan.

Menurut pemilik nama Ahmad Falah Ahmad Bassim ini, dia sama sekali tidak menyangka ‘kepedasan’ single pertamanya itu dapat diterima baik oleh semua lapisan masyarakat dalam tempoh singkat dan perkembangan tersebut mendorongnya untuk segera menyiapkan muzik video sebagai hadiah kepada peminat.

“Pembikinan akan dibuat di Bandung minggu depan dan selepas selesai semua urusan itu, kita jangka single ini beserta muzik video akan dilancarkan selewat-lewatnya pada akhir bulan.

“Lagu ini dirakam pada Februari lalu, dan daripada kesemua lima lagu yang dicipta untuk saya, hati ini terus tertarik dengan melodi Cili-cili Cinta yang indah serta lirik yang mudah diingati,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut pemegang Diploma Seni Lakon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, sejak kecil dia sudah terbiasa dengan lagu-lagu asli jadi sedikit sebanyak memberi kelebihan buatnya dalam menyanyikan irama dangdut yang juga merupakan antara genre muzik yang diminatinya.

Pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian di peringkat kebangsaan di samping program realiti Skool Of Lawak di Astro pada 2014, Falah tidak kisah sekiranya perlu menggandakan usaha dalam mencipta nama di Indonesia dan tanah air.

Katanya, apa yang lebih mustahak, dia berharap peminat terhibur dengan kelainan muzik yang ditampilkan.

Orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan Falah Bassim boleh menjejakinya di laman Facebook (FB), Instagram dan Twitter.

Falah pernah muncul Naib Johan Bintang Asli Remaja Negeri Terengganu 2006 di samping wakil Zon Timur Pertandingan Idola Patriotik RTM Peringkat Kebangsaan 2007 dan penyanyi latar Festival Gamelan Sedunia 2010. - UTUSAN ONLINE