Beliau yang kini berada di Tanah Suci menunaikan umrah memberitahu Utusan Online, hatinya belum terfikir soal kahwin kerana pengalaman lalu masih menghantui fikirannya.

“Entahlah saya tak tahu nak cakap macam mana. Kalau ikut naluri wanita memanglah nak ada teman di sisi tapi lelaki ini apabila bergelar suami perwatakan mereka berbeza.

“Sebetulnya saya masih lagi trauma dengan perkahwinan lalu, biarpun saya berkahwin dengan lelaki yang baik tapi bila bab wang ringgit, mereka boleh berubah sikap,” katanya tanpa berselindung.

Tatkala ditanya tentang gosip beliau dengan Ahmad Iqbal Zulkefli selaku pembantu peribadi serta pegawai media, Dr. Vida berkata, beliau tidak ada kata putus.

Jelas Dr. Vida, biarpun Iqbal mengakui mereka serasi dan tidak menolak jika mereka ditakdirkan berjodoh namun sebagai wanita yang pernah melalui pelbagai cabaran dalam rintangan dalam rumah tangga, beliau tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.

Kata Dr. Vida, beliau perlu menjaga hati pelbagai pihak terutama anak-anak selain mengutamakan kehendak sendiri.

“Anak saya, Cik B, terang-terangan memberitahu yang dia tidak akan membenarkan Ahmad Iqbal atau mana-mana lelaki lain menghampiri saya. Selain Cik B, ahli keluarga juga tidak berapa setuju kalau dia pasangan saya.

“Saya sendiri tak tahu nak pilih macam mana sebagai pasangan hidup. Lelaki-lelaki yang saya kahwin sebelum ini semuanya baik tapi bila masuk bab wang ringgit, mereka boleh berubah.

“Biarlah saya berdoa agar Allah beri petunjuk, siapakah calon suami saya yang benar-benar ikhlas menerima saya,” katanya yang akan kembali ke tanah air pada 24 Oktober ini.

Sebelum ini pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., itu pernah memberitahu media yang beliau rapat dengan seorang jejaka dari Itali yang sanggup bertandang ke kediamannya sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Entahlah, dengan lelaki ini pun Cik B tidak setuju. Tambah-tambah berhubung jarak jauh. Yang saya boleh cakap, biarlah Allah yang tentukan siapakah jodoh saya.

“Sebagai insan, saya akan berdoa sebaik mungkin kepada Allah agar dikurniakan calon suami yang terbaik,” katanya.

Jauh di sudut hati, Dr. Vida yang kini hangat dengan lagu I Am Me berkata, beliau mengharapkan seorang lelaki yang boleh menjaga dan membimbingnya dalam urusan dunia dan akhirat. - UTUSAN ONLINE