Memetik status bergambar yang dimuat naik olehnya di laman Instagram @chefwan58, dia memberitahu bahawa Salahudin seorang yang degil kerana tidak mendengar nasihat yang pernah diberikan kepadanya.

“Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu Serina yang memikul segalanya selama enam tahun lebih usia perkahwinan mereka dalam keadaan tidak bahagia.

“Justeru saya amat gembira apabila mendapat tahu Serina sedang memfailkan permohonan cerai dan akan menuntut keadilan bagi pihaknya,” kata Chef Wan.

Tambah pelakon Lurah Dendam itu, dia begitu kasihan melihat anaknya bekerja teruk siang malam mencari rezeki gara-gara sikap suaminya yang kedekut memberikan nafkah zahir.

Menurut pendedahan itu lagi, Serina tidak pernah diberikan saraan perbelanjaan walaupun selepas dinasihatkan berkali-kali oleh Chef Wan.

“Daripada timbul sebarang spekulasi yang bukan-bukan, lebih baik saya tampil dengan kenyataan ini memberitahu hal sebenar.

“Saya sendiri walaupun sudah bercerai dengan isteri, tetap memberinya RM3,000 sebulan buat duit belanja. Inikan pula masih suami isteri,” katanya sinis.

Serina dan Salahudin bernikah pada 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tristan Tareef dan Isabella Saffiya. - UTUSAN ONLINE