Hadiah raya... Rozita che Wan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama Haval.

Model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu diterima sebagai penghargaan kepadanya selaku duta jenama berkenaan.

Lebih menarik perhatian lagi apabila nombor pendaftaran kereta itu tertera ‘RQ2174’ iaitu namanya sendiri.

“Sebenarnya saya sudah dilantik jadi duta Haval sejak Oktober tahun lalu untuk kontrak selama setahun.

“Pihak Haval ada bertanya kepada saya mengenai nombor pendaftaran dan saya beritahu meminati nombor plat RQ2174.

“Nombor pendaftaran itu bukanlah saya yang minta tetapi pihak Haval sendiri yang datang bertanya dan tak sangka mereka buat kejutan ini.

“Sesi serahan kunci kereta diadakan pada Jumaat lalu selepas urusan nombor pendaftaran itu selesai,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE.

Sementara itu, Che Ta, 44, ketika diminta berkongsi nilai nombor pendaftaran terbabit, dia bagaimanapun tidak tahu menahu soal harga.

“Saya tak diberitahu berapa nilai harga nombor plat kereta itu malah pihak Haval pun tidak mendedahkan kepada saya.

“Yang pasti raya tahun ini memang seronok sebab beraya dengan kereta baharu selain bergaya dengan tajaan baju raya. Alhamdulillah, syukur dengan rezeki yang diberi,” tuturnya.

Harga sebuah kereta berjenama Haval jenis H2 yang diterima oleh Che Ta ialah RM 130,000. - UTUSAN ONLINE