CHACHA MAEMBONG

Ada seorang kawan Poklip yang cantik cun melecun dakwa, dia hari itu terserempak dengan seorang wanita yang wajahnya saling tidak tumpah seperti Chacha Maembong.

Dia terlihat kelibat wanita yang dikatakan sama seperti pelakon itu ketika habis menonton wayang di sebuah pusat beli belah di ibu kota. Mula-mula terkejut juga tau kawan Poklip.

Mana taknya, wanita yang didakwa seiras dengan Chacha itu sedang asyik berpelukan dengan seorang lelaki. Baru habis tengok wayang gamaknya, cakap kawan Poklip.

Malah, wanita tersebut bila nampak kawan Poklip terus dia sorok muka dengan lengan teman lelakinya. Al-maklumlah, kawan Poklip ini memang seorang wartawan yang popular.

Poklip tanya juga, dia pasti ke wanita tersebut merupakan adik kepada pelakon popular Emma Maembong. Takut juga salah orang. Kita kan ada tujuh orang wajah seiras dalam dunia ini?

Dakwa kawan Poklip itu, wanita itu memang betul-betul sama wajah dengan Chacha. Malah, tinggi dan saiz badan pun saling tak tumpah macam Chacha. Cuma dia tidak beranilah mengesahkan wanita tersebut adalah pelakon yang sama.

Bukan apa, takut jatuh fitnah pula kan? Chacha sedang sedap tidur di rumah ketika itu, ada pula orang cakap dia berpelukan di luar pawagam kan. Tak patut, sungguh tak patut.

Lagipun, mungkin wanita tersebut memang seorang yang pemalu sebab itu siap sorok muka. Kita fikir yang baik-baik sahajalah. Tapi nak tanya juga, Chacha ke tu?

SOLOK LADA: Ada orang tidak puas hati dengan kemenangan Khai Bahar baru-baru ini. Tak apalah, nanti Poklip tanya Khai sendiri. Apa resipi popularitinya kan, diam-diam ubi berisi tau.