Sibuk dengan lakonan dan banyak mengacara rancangan televisyen, tidak keterlaluan andai dikatakan bahawa si manis yang menggunakan nama pentas, Sherry Alhadad ini akan menghiasi industri hiburan tanah air sepanjang tahun ini.

Pernah satu masa, pelakon drama fenomena, Misteri Wan Peah ini meluahkan rasa bimbang kalau-kalau masyarakat akan bosan melihat dia terlalu kerap muncul di kaca televisyen (TV).

Namun memikirkan kewujudannya dalam industri yang dianggap masih setahun jagung serta tidak mahu menolak rezeki daripada Allah SWT, Sherry optimis berdepan situasi tersebut.

Justeru, setiap tawaran sama ada lakonan ataupun pengacaraan, Sherry terima dengan hati terbuka dan sentiasa berusaha melakukan sebaik mungkin agar tiada lagi perasaan takut orang akan jemu dengan kemunculannya.

“Saya percaya ini adalah perancangan yang terbaik. Saya juga positif dengan sekeliling saya dan juga dengan rezeki daripada Allah. Kalau sudah rezeki saya, apa salahnya saya terima? Saya juga anggap itu sebagai satu platform untuk saya mengasah bakat yang saya ada,” katanya memulakan perbualan.

“Tambahan pula, saya melalui proses belajar dari bawah. Sebab itulah, apabila saya diberi peluang dan rezeki, saya cuba buat sehabis baik. Sebelum ini saya pernah cakap saya takut kalau terlalu banyak sangat muncul, nanti orang akan jadi jemu.

“Tetapi berbalik kepada rezeki dan kenapa masih ada pihak yang masih memberi tawaran dan peluang kepada saya? Ini maksudnya, hasil dan prestasi kerja saya masih ada di hati penerbit tidak kira drama atau program TV. Selain itu, setelah difikirkan kembali, saya bukannya berada lama dalam bidang ini yang membuatkan saya tiba-tiba nak berehat.

“Saya bukan Fauziah Datuk Ahmad Daud, Cheryl Samad atau Fara Fauzana untuk menyimpan rasa untuk berehat seketika,” jelasnya yang kini bergelar salah seorang pengacara rancangan Muzik-Muzik dan Rockanova.

Tidak hanya optimis dan positif tatkala melibatkan soal kerjaya, pelakon yang mula menyertai gelanggang lakonan menerusi telefilem Sutun ini turut memiliki keyakinan diri yang tinggi.

Sifat yakin yang sentiasa mekar dalam dirinya membuatkan Sherry tidak tergugat walau seribu cabaran dan dugaan yang menimpa.

Bercerita mengenai perihal yang satu itu, Sherry akui tampil dengan ikhlas serta menjadi diri sendiri dalam semua hal membuatkan wujudnya keyakinan tersebut.

“Keyakinan itu tidak boleh cari dalam buku atau diwarisi daripada ibu bapa. Semuanya daripada diri kita sendiri. Tidak dinafikan sebagai manusia, semua orang ada sifat malu. Namun lebih bagus apabila kita yakin cuma jangan keterlaluan kerana itu akan memberi masalah.

“Macam saya, berkongsi rasa ialah cara untuk mencari keyakinan. Maksudnya jika berjumpa dengan kawan, saya akan bercerita dan buat orang gelak. Itu adalah perangai semula jadi saya. Bukan dibuat-buat untuk membuatkan seseorang itu kagum.

“Apabila memasuki usia 18 tahun, saya menyambung pengajian pada peringkat diploma dan belajar dengan cikgu-cikgu yang sangat bagus dalam bidang teater.

“Jadi saya dapat ilmu yang sangat berguna yang secara tidak langsung menaikkan lagi keyakinan saya,” jelasnya. - Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB

Semakin diterima

Semasa menuntut ilmu lakonan, suatu hal yang sering dimomokkan pada telinganya adalah untuk menjadi seorang bintang, individu itu harus memiliki pakej yang sempurna dalam segenap aspek bagi membolehkan kehadirannya diterima ramai.

“Saya diberitahu bahawa untuk menjadi seorang pelakon, kita kena ada satu instrumen yang bagus iaitu fizikal. Seseorang itu kena ada rupa dan badan yang elok. Kontranya, saya tiada instrumen itu,” katanya yang sangat keliru pada saat itu.

Bagaimanapun soal fizikal nyata bukan halangan untuknya mencipta nama dalam bidang ini.

“Ketika belajar, ada satu kelas yang saya takut kerana setiap hari cikgu kelas tersebut beritahu saya yang tiada siapa akan ambil saya berlakon sebab saya lain daripada yang lain.

“Setiap hari dia ulang ayat yang sama sampai satu hari, cikgu itu beritahu saya bahawa dia sudah tidak mahu menghina saya lagi.

“Rupa-rupanya niat dia berkata begitu untuk memberi saya semangat untuk kuruskan badan dan berubah. Tetapi saya tetap tidak berubah dari segi fizikal dan akhirnya dia boleh terima hakikat itu. Yang saya kena buat untuk buktikan yang saya betul-betul boleh berlakon ialah dengan ilmu.

“Begitulah apabila ada orang kata takut nak bagi seseorang yang tiada pakej untuk berlakon sebab dia tidak sesuai untuk watak ini dan dia tidak boleh jual. Tetapi apabila diberi peluang dan dia melakukan yang terbaik, pada awalnya memang orang tak boleh terima tetapi lama-lama mereka akan terima juga.

“Bagi saya, tidak kira macam mana rupa dan bentuk kita, yang penting kalau kita yakin untuk buat sesuatu benda dan mampu buat yang terbaik, akhirnya orang akan terima,” katanya lagi.

Impian besar

Menginjak usia 11 tahun bergelar anak seni, pemegang Ijazah Seni Persembahan Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini berpeluang melakukan banyak perkara berkaitan bidang yang diminatinya itu.

Diajukan tentang perkara yang belum dicapai serta yang ingin dilakukannya lagi untuk menyumbang kepada dunia seni, Sherry berkongsi satu impian besarnya.

Daripada yang pernah dilaluinya suatu masa dahulu sehingga kepada pengalaman dan ilmu yang dikutip sepanjang bergelar pelajar teater serta anak seni, Sherry berhasrat untuk ‘memberi’ kepada masyarakat.

“Sebenarnya tidak ada benda lain yang saya mahu beri selain daripada yang saya ada iaitu ilmu dan bakat saya yang suka hiburkan orang. Jadi perkara yang paling saya ingin buat jika saya dapat peluang ialah mengadakan kursus pendidikan melalui teater di sekolah dengan kawan-kawan Aswara saya.

“Itu sahaja yang saya impikan sejak dari dulu lagi. Saya tahu bagaimana sukarnya untuk seseorang pelajar untuk ada minat apabila belajar. Seperti saya, bila memasuki Aswara, dari situ barulah saya dapat tahu keinginan saya dan saya suka dengan apa yang saya belajar.

“Saya dapat dan simpan idea ini sejak saya sekolah menengah lagi. Ketika saya belajar teater, idea tersebut semakin berkembang ditambah pula dengan pengetahuan yang saya peroleh.

“Saya teringin sangat untuk merealisasikan impian ini kerana saya suka mengajar dan memberi ilmu tentang yang saya tahu.

“Sebenarnya ramai pelajar sekolah yang minat perkara ini. Sebelum ini kami pernah mengadakan satu bengkel lakonan dengan pelajar-pelajar di Felda dan kawasan luar bandar.

“Bayangkan, mereka yang tidak tahu arah tuju dalam hidup, apabila menyertai bengkel ini dan didedahkan dengan ilmu tersebut, barulah mereka tahu rupa-rupanya mereka ada bakat,” ujarnya.