Aida atau nama sebenarnya, Zuhaidah Yusof, 42, bagaimana­ pun hadir berseorangan dan pihak media yang menanti juga hanya bertemu sekejap dengannya yang kelihatan tergesa-gesa meninggalkan mahkamah.

Ketika ditanya mengenai kehadiran Adi, dia hanya memberitahu lelaki itu tidak datang sebelum berlalu pergi untuk urusan di kaunter mahkamah.

Kes permohonan penceraian pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim, 34, dan Aida itu sepatutnya dise­but di hadapan Hakim Syarie Tuan Izzat Syazli Mushid pada pukul 8.30 pagi.

Pertanyaan wartawan kepada kakitangan mahkamah juga tidak berhasil apabila mereka enggan mendedahkan butiran mengenai kes melibatkan pasangan selebriti itu.

Permohonan perceraian itu difailkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 dengan Aida dina­makan sebagai pihak responden.

Pada 11 Mei 2012, aktor yang popular menerusi drama Tentang Dhia dan filem KL Gangster itu memfailkan permohonan sama terhadap Aida namun menarik balik sembilan hari selepas ia difailkan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 April 2006 dan belum mempunyai cahaya mata.