Mungkin mencari sisi kelainan, maka, pemilihan judul video muzik nasyid terbaharu, ‘Carilah Aku di Neraka’ dendangan Fadzli FarEast dan Maliq Suhaimi dianggap sebagai cubaan luar biasa sempena pengenalan single baharu duo tersebut.

Single yang baru dikeluarkan malam semalam sempena sambutan Nuzul al-Quran itu dicipta sepenuhnya oleh Fadzli FarEast dan Shukri Sahari manakala, seni kata lagu hasil nukilan penulis lirik prolifik, Ito Lara dan Hazalinda Harun.

Menariknya video berdurasi lapan minit 40 saat itu dimulakan dengan tazkirah ringkas oleh pendakwah, Mohammad Rozie Mohd. Rejab bagi memberi gambaran tentang lagu tersebut yang dinukil berdasarkan pesanan Imam Syafie berkenaan perihal persahabatan kemudian disusuli video muzik lagu tersebut.

Menerusi ruangan komen di saluran rasmi YouTube Inteam Digital, rata-rata warga maya memberi pujian terhadap penghasilan lagu tersebut termasuk seorang pendengar, Fariha Aiza Ramly.

“Nice..lagu yang menyentuh jiwa, bergenang air mata teringat sahabat yang baik dan selalu membantu kita,” tulisnya.

Bagi Muhammad Nur Ubaidillah Ab Ghani, dia menyifatkan lagu tersebut sebagai naskhah yang berjaya memberi gambaran tentang seksanya seseorang apabila menerima azab dalam api Neraka.

“Sebak, sedih.. membayangkan serasa bagai di Neraka. Inilah rintihan kita..Allahu,” kongsinya.

Single tersebut merupakan hak cipta Gurindam Entertainment dan Inteam Records Sdn. Bhd. sebagai pengedar di platform digital. -UTUSAN ONLINE