Tidak mahu kisah penceraiannya terus menjadi perdebatan umum, Amelia Henderson memilih untuk tidak berbicara mengenainya lagi. Tiada ada lagi yang boleh diceritakan memandangkan semuanya tinggal sejarah.

Namun memikul gelaran ‘solo’ bukanlah satu tugas yang mudah sementelah usianya baru sahaja 23 tahun. Sudah ada yang bertanya bila lagi dia mahu mencari pengganti yang ada kalanya sangat menyesakkan kepalanya.

“Saya tak mahu lagi memikirkan tentang perkahwinan,” katanya berterus terang.

Bagi Amelia, ini masa untuknya terus memberikan tumpuan kepada bidang seni yang sudah diceburi sejak berusia 10 bulan lagi.

Apatah lagi namanya semakin menjadi sebutan dan perhatian dek kerana kecantikan aslinya, biarlah dia beralah daripada terus bergelut dengan perasaan.

“Selepas kembali hidup solo, saya lebih selesa untuk meneruskan kerjaya. Rindu pada bidan lakonan memang menebal memandangkan kali terakhir saya berlakon ada ketika berumur 12 tahun.

“Cuma sekarang usahlah dikenang kisah yang lalu memandangkan semua tinggal kenangan. Tak mungkin saya dapat kembali ke masa lalu untuk mengatur hidup yang lebih sempurna,” katanya .

Wanita darah campuran India-Scotland itu seboleh-bolehnya enggan mencampur adukkan kisah peribadi dan kerjaya dalam satu masa yang sama.

Katanya, biarlah soal kerja yang menjadi taruhan memandangkan itu yang membuatkan dia selesa. Soal peribadi biarlah menjadi rahsia peribadi dan disimpan sendiri di dalam memori.

“Berbalik kepada soalan umum bilakah saya akan kembali mendirikan rumah tangga semula, saya sendiri pun tak ada jawapan.

“Lebih baik saya membahagiakan keluarga yang ada sekarang ini sebelum mencari kebahagiaan bersama lelaki bergelar suami dalam membina keluarga sendiri,” ujar Amelia.

Terdahulu Amelia mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015 dengan Tunku Datuk Harrunnarasheed Putra Tunku Annuar dan berpisah pada tahun ini tanpa ingin mendedahkan tarikh sebenar perceraian mereka.

Amelia juga pernah membintangi filem arahan arwah Yasmin Ahmad iaitu Talentime dan drama Keluarga Pontimau.

KEMBANG BAKAT

DIBERI penghormatan menyanyi bersama Altimet dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini membuatkan ramai yang mula mengesan bakat yang satu itu.

Ramai yang memberikan pujian dan tak kurang juga yang masih terkenangkan persembahan yang disifatkan olehnya luar biasa.

Mengakui amat meminati bidang seni mencakupi semua lapangan, dia sebenarnya sudah didedahkan dengan beberapa asas muzik, menari, teater dan menyanyi sejak kecil lagi.

“Paling diingati apabila saya pernah menyertai kelas tarian balet dan beberapa kali menjuarai pertandingan. Saya pula minat menyanyi rap tetapi tidak mempunyai keyakinan untuk membawanya ke tengah.

“Ketika video saya menyanyi lagu rap tular bulan lalu, semua itu kerana pihak pengurusan saya yang mendesak supaya memuat naik klip tersebut di laman sosial,” katanya bercerita.

Ekoran tularnya video tersebut, Amelia dipelawa oleh TV3 untuk berkongsi pentas dengan Altimet yang dianggapnya idola dalam bidang muzik.

Tidak berakhir setakat itu sahaja, dia ditawarkan peluang oleh komposer terkenal, Alif Magic Portion untuk bergelar artis rakaman di bawah syarikat Warner Music Malaysia.

BUDAK GENIUS

Pernah diiktiraf Malaysia Mensa Society (Mensa) sebagai seorang kanak-kanak genius apabila tahap pemikirannya (IQ) menerusi ujian kepintaran yang diambilnya tinggi, Amelia tidak melihat status tersebut menghalangnya untuk aktif dalam lapangan seni.

Tambahnya, latar belakang pendidikan seseorang itu bukannya dinilai menerusi sekeping sijil, namun penilaian dibuat apabila dia bijak memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh dalam pelbagai bidang yang diceburi termasuklah hiburan.

Selain itu dia mempunyai kelulusan A Level dan Amelia berharap dia dapat membina empayar perniagaannya sendiri suatu hari kelak.

“Secara peribadinya saya gemarkan gaya urban, sofistifikated dan up to date. Itulah ketrampilan dan imej saya. Jadi, harapan saya agar dapat memiliki label fesyen sendiri atau perniagaan yang berkaitan bidang kecantikan.

“Semua ini adalah matlamat jangka panjang diimpikan sekian lama,” ujarnya yang masih aktif di pentas peragaan sebagai seorang model dan juga pemegang gelaran ratu cantik Miss ASEAN Malaysia 2013.