Nampak mudah, namun dari satu sudut ini adalah antara cabaran terhebat setiap peserta memandangkan pengalaman dan keupayaan mereka dalam bidang lakonan adalah sangat terhad.

Tidak pernah terfikir untuk berada dalam pertandingan ini pada mulanya, juara Gadis Panca MyBeauty 2018, Sharifah Husna Syed Feizal, 25, yakin kemenangan dalam program ini membuka peluang lebih luas untuk dia bergelar seorang pelakon versatil selepas ini.

“Saya tak sangka boleh menang. Saya sudah berlakon sejak dua tahun lalu, jadi saya harap kemenangan ini bakal membuka peluang lebih besar untuk menyerlah dalam bidang lakonan.

KUALA LUMPUR 14 Disember 2018 - Sharifah Husna, 25 (dua dari kanan)
Sharifah Husna, 25 (dua dari kanan) dinobatkan sebagai Juara Gadis Panca 2018 yang disampaikan oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MHE TV, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar (dua dari kiri) dan Pengerusi Bersama My Beauty Malaysia, Prof. Dr. Wong Kong Yew (kanan). - UTUSAN ONLINE/FARID JANUDIN

“Kalau mahu kata pengalaman berlakon adalah kelebihan untuk menang, mungkin benar. Namun tidak dinafikan sepanjang program ini saya turut memberikan komitmen. Jadi, saya anggap kemenangan ini juga adalah usaha yang tidak mudah,” katanya. Selaku juara dia membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, percutian ke Balkan dan kontrak lakonan dengan A.Aida Production Sdn. Bhd.

Mengakui penglibatannya dalam pertandingan ini berjaya membuka ruang untuk dia lebih yakin menginterpretasikan bakat yang dimiliki.

KUALA LUMPUR 14 DISEMBER 2018 - Juara, Sharifah Husna Syed Feizal,
 

Bagi Husna atau nama sebenarnya Sharifah Husna Syed Faizal, 25, dia tidak menolak kecantikan yang dimiliki adalah bonus untuk berada dalam bidang lakonan.

Namun, dalam masa sama anak gadis ini tegas menyatakan yang minat juga adalah perkara utama membuatkan dia berada dalam pertandingan ini.

“Sejak dari kecil saya sudah mempunyai impian untuk menjadi seorang pelakon. Namun, berada dalam sebuah keluarga yang mementingkan pelajaran, saya perlu menunaikan amanah yang diberikan keluarga dahulu.

“Alhamdulillah, keluarga tidak menghalang untuk mengejar impian menjadi pelakon, namun saya perlu habiskan pengajian dalam bidang perubatan yang masih berbaki dua tahun lagi,” katanya yang kini menuntut di Universiti Perdana, Serdang, Selangor.

Sedia maklum akan cabaran dunia artis yang bakal dilalui tidak lama lagi, bagi gadis ini dia tidak melihat itu sebagai sesuatu yang menakutkan memandangkan sejak awal lagi sudah ada peraturan yang akan dipatuhi.

“Saya mahu jadi pelakon kerana minat yang mendalam. Jadi saya akan fokus untuk memastikan impian bergelar seorang pelakon versatil akan tercapai suatu hari nanti.

“Antara langkah yang saya ambil adalah tidak mencampurkan urusan peribadi dan pekerjaan. Sekarang selepas habis penggambaran saya akan terus balik ke rumah,” tambahnya yang turut memenangi Anugerah Gadis Panca MHE TV Popular.

Platform untuk jadi pelakon – Sarah Mustafa

Penuntut jurusan Bahasa Inggeris dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Siti Sarah Mustafa menjadikan pertandingan ini sebagai platform untuknya membina karier dalam dunia seni.

Berdikari sejak tamat tingkatan lima, gadis berusia 20 tahun ini juga tidak betah berada di rumah, justeru dia giat mencari duit poket sendiri.Lantas dalam usia muda, Siti Sarah menampung perbelanjaan sendiri dengan menjadi model sambilan kepada pelbagai produk wanita.

“Saya tidak biasa duduk rumah. Sejak habis Sijil Pelajaran Malaysai (SPM), saya bekerja sendiri.

“Ketika belajar di UPSI pun saya kerja sampingan sebagai model untuk menampung pelajaran, dapat juga meringankan tanggungan orang tua. “Apa pun minat saya sebenarnya memang nak jadi pelakon. Harapnya menerusi pertandingan ini bakat saya dinilai sebaiknya dan diberi peluang yang banyak,” kata Siti Sarah yang melakonkan karakter Izzah dalam filem Ombak Rindu.

Untuk membawakan watak Izzah, dia tidak menonton filem itu berkali-kali, sebaliknya hanya menghayati kesedihan karakter berkenaan.

“Pernah sekali saya tonton Ombak Rindu, itu pun sudah lama. Tapi saya tahu kena ada jiwa sedih dan hiba,” katanya.

“Saya sendiri membuat persediaan pada saat akhir ekoran sedang menjalani latihan amali di Terengganu,”katanya.

Tambah gadis ini, minat dalam bidang lakonan kerana sifatnya yang gemar bercakap dan bertemu orang ramai.

Sarah membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, kontrak lakonan dan pakej percutian ke Thailand.

‘Dukun’ bawa tuah – Puteri Ateeqah

Pemenang tempat ketiga Gadis Panca MyBeauty 2018, Puteri Ateeqah, 24, tidak menyangka mendapat tiga markah tertinggi jika dibandingkan peserta lain yang lebih hebat.

Baginya, kemenangan tersebut adalah tuah watak dukun yang dilakonkannya di pentas final.

“Jika hendak dibandingkan dengan peserta lain, mereka banyak kelebihan seperti cantik, tinggi dan berpenampilan menarik. Saya dapat rasakan lakonan sebagai dukun membuatkan juri memberi markah lebih seterusnya melayakkan saya di tempat ketiga.

“Saya seorang penakut, tetapi saya menyahut cabaran melakonkan watak dukun yang mengamalkan ilmu hitam. Tak sangka saya boleh lakukannya dengan baik.

“Sebelum ini saya ada menyertai beberapa pertandingan tetapi tak bernasib baik . Kemenangan ini diharap memberi laluan kepada saya yang sudah lama bercita-cita mahu menjadi pelakon.

“Saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan sebarang cabaran menjadi anak seni. “Saya tahu pakej cantik dan populariti memang penting kerana itu bonus, namun bakat juga perlu diasah,” luah pemilik nama sebenar Puteri A’teeqah Ayu Mohd Zaharee.

Dia membawa pulang wang tunai RM3,000, pakej percutian ke Thailand dan kontrak lakonan.

Puteri Ateeqah yang merupakan lulusan diploma psikologi dari Kolej Raffles, Kuala Lumpur juga menerima Anugerah My Beauty Tourism dalam pertandingan ini.

Peserta dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Nurul Izzah ‘Atirah Mohmad Zain, 19, pula memenangi Rekaan Pakaian Terbaik melalui pereka popular Istana Putih.

Juri musim kedua pertandingan kali ini ialah Datuk A.Aida; Datuk Fazley Yaakob; Pengarah MyBeauty, Datuk Wong Kong Choong; Rita Rudaini; Miss Universe 2017, Samantha Katija dan Ketua Pengarang MHE, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Majlis itu turut menganugerahkan kategori pilihan Pancaindera kepada tiga artis iaitu Anugerah Inspirasi yang dimenangi Wany Hasrita, Sufian Suhaimi (Anugerah Sensasi) dan Kilafairy (Artis Versatil).

Pertandingan Gadis Panca MyBeauty 2018 dianjurkan oleh akhbar paling popular Mingguan Malaysia menerusi sisipannya, Pancaindera dan ditaja oleh MyBeauty Malaysia, Kembara Sufi dan A.Aida Production Sdn. Bhd.