Berkata kepada Utusan Online, Aishah hadir ke butiknya di Bukit Bintang hari ini sambil ditemani suami untuk diambil ukuran setelah menyatakan persetujuannya kira-kira sebulan lalu.

“Apabila mendapat tahu Aishah bersetuju menerima tawaran saya, jujurnya itulah antara momen paling manis dan membahagiakan kerana amat meminati nyanyiannya sekian lama.

“Dia adalah seorang penyanyi legenda disegani. Maka, selayaknya Aishah dihargai dan diberi penghormatan. Baju yang akan saya reka ini merupakan hadiah istimewa ikhlas daripada saya,” katanya.

Menurut Calvin, menerusi perbincangan bersama-sama penyanyi lagu Cinta Beralih Arah itu, dia cuma mahukan rekaan yang bersesuaian dengan imej Islamiknya tanpa ada sebarang permintaan lain.

Katanya, Aishah seorang yang profesional, tidak cerewet, bahkan pengetahuannya tentang dunia fesyen juga amat mengagumkan.

“Meskipun berstatus diva, namun dia sangat merendah diri. Pengalaman sebagai penyanyi berdekad lama menjadikan dia seorang selebriti yang arif tentang fesyen, malah memberi ilham kepada saya untuk mereka pakaiannya.

“Saya berjanji untuk beri sentuhan terbaik dalam menghasilkan busana indah yang akan digayakannya pada malam final itu nanti,” katanya teruja.

Selain Calvin, pada persembahan terakhir GV4 minggu ini yang memerlukan finalis menyanyikan dua buah lagu, Aishah turut akan menggayakan pakaian rekaan Amir Kadir.- UTUSAN ONLINE