Pada pukul 5 petang ini, pengacara Busking Bersama Buskers, Apak, telah mengundang Caliph Buskers untuk menghiburkan para penonton segmen hiburan Utusan Online selama satu jam.

Caliph Buskers bersedia untuk beraksi di atas Panggung Utusan di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd., petang ini dengan 10 buah lagu.

Menurut Azmi, vokalis utama Caliph Buskers, beliau dan rakan-rakannya amat merindui Utusan Online yang menyediakan platform hiburan secara live bagi membantu anak-anak seni sama ada penyanyi mahupun pelakon yang memerlukan sokongan demi perkembangan karier mereka.

"Caliph Buskers sudah lama tidak muncul dalam segmen bual santai, Jom Chat yang dikendalikan oleh Apak setiap hari Rabu, 9 malam sehingga 10 malam.

"Ini kerana kami semua sibuk tetapi apabila diundang untuk beraksi secara live dalam segmen Busking Bersama Buskers hari ini, Jumaat, memang kami tidak menolak bahkan penampilan kami pada petang ini dengan persembahan berkonsepkan busking, akan mengubat kerinduan di saat kami sebagai pemuzik jalanan suatu ketika dahulu," kata Azmi.

Azmi yang mengakui rindukan minuman nescafe yang disediakan oleh Mak Ani kantin Utusan berkata, Caliph Buskers menghargai sokongan Utusan Online yang sentiasa menyokong karier seni mereka dalam arus perdana. - UTUSAN ONLINE