Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Cabaran besar Cik Oxford Mr. Mesir

s 4

BERHADAPAN dengan disiplin pelakon yang sering menimbulkan masalah di lokasi bukan perkara baharu buat penerbit malah seharusnya menjadi tanggungjawab seseorang pelakon untuk komited dalam pekerjaan.

Menyifatkan masalah disiplin sebagai sesuatu yang tidak seharusnya berlaku lagi, bagi pengarah telefilem Cik Oxford Mr. Mesir, Apache, dia tidak menafikan hal tersebut masih menghantui industri malah turut melibatkan produksinya baru-baru ini.

Meskipun sudah berpengalaman mengarahkan lebih 40 telefilem sebelum ini, masalah disiplin segelintir pelakon masih lagi menjadi barah dalam produksi yang pada akhirnya mengakibatkan masalah kepada semua.

“Memang soal disiplin menjadi kunci utama kepada setiap pekerjaan. Dalam bidang ini sekalipun, soal masa memang menjadi hal terpenting bagi melicinkan proses penggambaran.

“Tapi apabila ada pelakon yang datang lewat dan tidak memberikan komitmen tentu sahaja akan menyusahkan pihak produksi.

"Paling ditakuti turut menjejaskan mood pelakon lain yang terpaksa menunggu lama,” kata Apache berhubung produksi Cik Oxford Mr. Mesir yang menamatkan penggambaran beberapa minggu lalu.

Selain berhadapan dengan masalah teknikal membabitkan kru, mereka juga berhadapan dengan kerenah pelakon yang kurang serius dengan soal masa.

Tanpa menamakan siapakah gerangan pelakon tersebut, tentunya perkara berkenaan benar-benar memberikan kesan bukan sahaja kepada dirinya sebaliknya kepada keseluruhan pasukan produksi.

Cik Oxford Mr. Mesir dilakonkan oleh Zahirah MacWilson, Kamal Adli, Sweet Farhana, Hafizz Bahari dan Fiella Love.

Menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur, telefilem yang sepatutnya menjalani penggambaran tujuh hari terpaksa ditambah dek beberapa hal remeh melibatkan pelakon.

“Sebab itu banyak kejadian yang tak diingini berlaku di set. Apabila bekerja dengan ramai pihak sudah tentu soal masa menjadi keutamaan.

"Apabila mereka buat masalah, kesannya akan terpalit kepada semua pihak,” tambah Apache yang pernah memenangi kategori Pengarah Fotografi Terbaik pada Anugerah Skrin sebanyak dua kali.

Pengajaran

Bagi Hana Hussain, penerbit mewakili syarikat Million Picture Sdn. Bhd., pihaknya menganggap perkara tersebut sebagai pengajaran besar buat mereka.

Tambahnya, soal disiplin artis yang tidak menghormati masa orang lain tidak seharusnya berlaku memandangkan masing-masing harus bertanggungjawab apabila bekerja sebagai sebuah pasukan.

“Sebagai penerbit muda yang baru 10 tahun beroperasi, ada kala kami terpaksa mengikut kehendak skrip dan permintaan stesen televisyen dalam memilih pelakon.

"Kami faham memandangkan perkara berkenaan berkaitan dengan rating dan sebagainya.

“Sebab itu ada produksi yang lebih gemar mengambil muka yang sama memandangkan pelakon berkenaan senang bekerja dan menghormati masa orang lain. Tak mengapa, ini pengajaran buat kami,” kata Hana lagi.

Bercerita mengenai Cik Oxford Mr. Mesir, Hana memuji komitmen dan kesabaran yang ditunjukkan oleh Zahirah sepanjang proses penggambaran.

Meskipun hampir menarik diri dek masalah yang berlaku, sikap profesional pelakon berkenaan sangat dihargai.

Kata Hana, antara cabaran yang dihadapi termasuklah berhadapan dengan cuaca jerebu yang melanda negara ketika itu sehingga menyebabkan Zahirah kurang sihat kerana membabitkan babak di kawasan terbuka.

Cik Oxford Mr. Mesir mengisahkan tentang Iris, lakonan Zahirah dan Farhan (Kamal Adli) yang bercinta dan membuat sumpah setia untuk tidak bertemu sehingga tamat pengajian di luar negara.

Iris melanjutkan pengajian di London manakala Farhan pula melanjutkan pengajian di Mesir.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian, masing-masing tidak seperti yang dibayangkan.

Iris yang disangkakan gadis moden sebaliknya berhijab setelah mendalami Islam sewaktu berada di London.

Sementara Farhan yang disangka lelaki yang berperwatakan seperti ustaz sebaliknya menjadi lelaki yang moden yang langsung tidak mempamerkan ciri-ciri yang digambarkan oleh Iris.

Pelbagai perkara lucu terjadi apabila mereka cuba menyesuaikan diri dengan pasangan masing-masing di samping cuba mengubah pasangan mengikut cita rasa mereka sendiri sehinggalah tercetusnya beberapa konflik.

Telefilem romantik komedi ini akan disiarkan pada 24 September ini, pukul 10 malam di Astro Ria.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan