Mengambil kira permasalahan yang sering berlegar di kepala kebanyakan wanita, Million Picture Sdn. Bhd. tampil dengan sebuah program Miss Stylo yang pastinya memberikan input baharu kepada penonton.

Penerbitnya, Hana Hussain berkata, kegusaran yang sering berlegar di dalam fikiran kebanyakan wanita membuatkan mereka terpanggil untuk memberikan input serta informasi baharu kepada golongan wanita untuk terus bergaya tetapi masih berada di landasan yang tepat.

“Sebenarnya soal fesyen, hijab dan kecantikan memang menjadi ‘masalah’ terbesar kepada golongan wanita. Ada yang pandai bergaya dan ada juga yang masih mencari identiti dan panduan yang harus diguna pakai.

“Dengan adanya Miss Stylo, kita kumpulkan maklumat lengkap dari segi pemakaian, tudung, petua kecantikan dan banyak lagi perkara. Semuanya digabungkan di dalam sebuah program televisyen (TV) yang banyak berguna untuk golongan wanita,” kata Hana lagi.

Sedang ditayangkan di TV ketika ini, Miss Stylo turut mengundang golongan artis dalam setiap episod. Mereka bukan sahaja berkongsi tentang rahsia kecantikan dan fesyen malah turut memberikan tips berguna untuk penonton.

Antara artis popular yang terlihat di dalam program ini termasuklah Siti Nordiana, Syatilla Melvin, Zulin Aziz, Rebecca Al-Islam, Niena Baharun, Anis Al-Idrus dan Yatt Hamzah.

Menariknya setiap minggu Miss Stylo memaparkan pelbagai tema yang menarik seperti Kawaii Korea, stailista, gaya 9, winter wondererland, back to school, jubah dan beberapa tema yang sering menjadi pilihan kebanyakan rakyat Malaysia.

TAMBAH Hana lagi, Miss Stylo terbahagi kepada tiga segmen utama iaitu suai padan, rawatan kecantikan moden dan rawatan kecantikan tradisional. Melihatkan sambutan kepada beberapa episod yang sudah ditayangkan, dia gembira dengan maklum balas yang diterima daripada penonton.

“Melalui beberapa episod yang sudah ditayangkan, saya gembira kerana penonton berpuas hati dengan input menarik yang kami sediakan. Tentu sahaja kepelbagaian tema menjadi kekuatan utama dan Miss Sytlo pula tidak hanya menumpukan kepada fesyen tertentu sahaja sebaliknya mencakupi semua.

“Pastinya ini memberikan lebih semangat kepada pihak produksi yang sudah bertungkus lumus mencari input menarik untuk penonton,” katanya yang turut menggunakan khidmat Aziah Jasmin Azizul sebagai perunding imej.

Nama Aziah bukan lagi satu nama yang asing dalam dunia fesyen dan perundingan imej dan kepakaran wanita tersebut digunakan sebaik-baiknya menerusi Miss Stylo yang disiarkan setiap hari Isnin, pukul 11 pagi di TVi.

Setiap minggu dia memberikan pandangan tentang imej, jenis solekan yang sesuai, padanan fabrik mengikut acara, tubuh badan dan warna kulit agar lebih berketrampilan dan anggun.

“Tips begini memang penting untuk golongan wanita. Mereka mungkin menyukai pakaian jenis begini tetapi belum tentu sesuai dengan tubuh badan. Begitu juga dengan solekan di mana warna kulit memainkan peranan penting.

“Perkara inilah yang kita kupas agar dapat memberikan panduan kepada penonton untuk terus bergaya tetapi masih berada di landasan yang betul,” tambah penerbit yang sudah berpengalaman luas ini lagi.

Menariknya mereka juga akan menjawab pelbagai persoalan yang dihantar oleh peminat serta menunjukkan demo kecantikan agar memberikan kefahaman kepada penonton.