Langgar Buskers yang popular dalam kalangan mereka yang berkunjung ke Restoran  Char Kuew Teow King, Port Dickson, akan mengadakan persembahan selama satu jam khusus untuk siaran live di Facebook Utusan Online.

Membawa segmen Busking Bersama Buskers yang dihoskan oleh Apak, dua minggu sekali, hari Jumaat keluar dari pentas persembahan di Panggung Utusan, Jalan Chan Sow Lin, di sini adalah sebagai memberi perubahan 'angin' kepada para penonton segmen tersebut.

"Apa salahnya jika sekali sekali, kita bawa Busking Bersama Buskers keluar agar penonton dapat menikmati hiburan santai ini secara live di lokasi," kata Pengarang Berita Media Baharu, Borhan Abu Samah.

Segmen Busking Bersama Buskers Utusan Online mula-mula diperkenalkan setahun yang lalu, mendapat sambutan hangat dalam kalangan pemuzik jalanan dan artis-artis berkumpulan yang memilih segmen ini untuk menghiburkan khalayak penggemar muzik.

Borhan berkata, bagi meningkatkan lagi pengikut Busking Bersama Buskers yang berdurasi selama satu jam, langkah pro-aktif perlu diambil.

Untuk rekod, segmen Busking Bersama Buskers pernah dijayakan oleh penghuni di sebalik tirai besi di Jabatan Penjara Bentong, Pahang.

"Orang ramai yang berada di sekitar Port Dickson, dialu-alukan datang ke lokasi untuk melihat persembahan Langgar Buskers petang ini.

"Manakala penonton setia Busking Bersama Buskers yang menonton menerusi telefon pintar, boleh masuk ke Facebook Utusan Online, like page dan anda akan dapat notifikasi apabila segmen ini bersiaran secara live," kata Borhan. - UTUSAN ONLINE