Terbitan Astro Shaw, filem arahan Syed Khairul Fariz yang mula menjengah pawagam seluruh tanah air pada 11 Januari lalu itu dilihat platform terbaik buat anak muda tersebut mengembangkan bakatnya sekali gus mencipta populariti.

Merupakan seorang yang aktif dalam seni mempertahankan diri, Hafeez menganggap penampilan sulungnya di layar lebar adalah petanda positif terhadap karier lakonannya yang diceburi pada 2013.

“Bukan sahaja saya membuat kajian tentang kehidupan seorang pemuzik jalanan atau busker malah saya turut mengikuti kelas vokal untuk mempelajari teknik nyanyian.

“Menerusi filem ini, saya bukan sekadar mahu buktikan versatiliti dalam bidang lakonan malah mengambil kesempatan untuk menonjolkan kemampuan vokal.

“Monoloque adalah individu yang bertanggungjawab membimbing saya dalam bidang muzik dan nyanyian kerana hakikatnya saya bukanlah penyanyi serta tidak pandai bermain instrumen,” katanya kepada Utusan Online.

Pada masa yang sama, ditanya tentang perancangan untuk bergelar penyanyi memandangkan keupayaannya mendendangkan sendiri lagu tema filem berkenaan, Atma Jiwa, Hafeez bagaimanapun belum membuat keputusan muktamad.

Katanya, dia memerlukan masa untuk mempelajari teknik yang betul dalam bidang nyanyian sebelum memikirkan semula tawaran bergelar artis rakaman.

“Ya, tidak dinafikan memang ada pelawaan daripada syarikat rakaman yang berminat untuk menyunting saya sebagai penyanyi. Bahkan Monoloque secara peribadi juga mahukan band Simfoni Dalam Poket yang diwujudkannya dalam filem Busker itu direalisasikan di pentas realiti.

“Tetapi rasanya saya belum bersedia ke arah itu dan akan dipertimbangkan untuk difikirkan semula,” tambah pemilik nama penuh Muhammad Hafiz Muhammad Zaki tersebut.

Selain dibintangi jejaka kelahiran Taman Melati, Kuala Lumpur itu, Busker turut menampilkan muka baharu seperti Daiyan Trisha, Anas Ridzuan, Mas Khan, Bulan, Lia Natalia di samping penampilan istimewa Aziz M. Osman, Man Bai, Sani Sudin serta Jihan Muse. - UTUSAN ONLINE