Vokalis Bunkface, Shamsul Annuar Mohd. Baharom, 31, atau Sam menjelaskan, keputusan memilih penyanyi pop yeh yeh berkenaan bukanlah atas dasar simpati, malah kerana minat serta ingin menghargai jasa pemilik nama sebenar Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman itu.

“Ketika kecil, saya dibesarkan dengan persekitaran irama pop yeh yeh kerana pada waktu itu ayah saya merupakan peminat tegar genre tersebut terutama lagu-lagu nyanyian Datuk A. Rahman Hassan dan Datuk Jeffrydin.

“Bukan itu sahaja, tarian yang dipersembahkan oleh penyanyi-penyanyi pop yeh yeh juga unik dan rancak di samping mampu mewujudkan elemen pesta.

“Disebabkan itu, kami bersetuju untuk memilih Datuk Jeffrydin, apatah lagi dia baru sahaja muncul dalam persembahan penutup Anugerah Juara Lagu ke-32 baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Online.

Pada masa yang sama, Sam menegaskan, pemilihan tersebut dibuat kerana penyanyi lama banyak menyumbang kepada perkembangan muzik tanah air sepanjang dia aktif menyanyi di dalam industri tempatan.

Tambah Sam, selain Jeffrydin, lagu yang bakal mereka keluarkan dalam masa terdekat turut menampilkan penyanyi rap Caprice.

“Objektif gandingan ini adalah untuk menarik perhatian peminat lama serta peminat baharu yang meminati kedua-dua bintang tersebut,” katanya.

Sam berkata demikian ketika menghadiri sidang akhbar sempena majlis meraikan ulang tahun ketujuh animasi bersiri Boboiboy yang diadakan di sini baru-baru ini.

Bunkface yang turut dianggotai oleh Farouk Jaafar (Youk), 29, dan Ahmad Farhan (Paan), 31, bakal memeriahkan sambutan ulang tahun Boboiboy di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak dari 17 hingga 25 Mac ini sempena cuti sekolah.

“Insya-Allah persembahan selama setengah jam itu akan menyaksikan kami menyanyikan lima buah lagu,” katanya.

Sepanjang cuti sekolah nanti, pelbagai aktiviti menarik diaturkan oleh MAPS untuk para pengunjung selain persembahan daripada artis terkenal, Ruffedge, Altimet, Joe Flizzow dan Sonaone. - UTUSAN ONLINE