Selepas lapan bulan Konsert Bunkface X berlalu, kumpulan ini melancarkan single terbaharu mereka berjudul Kembalii dan pada pukul 9 malam ini, Bunkface akan muncul selama satu jam secara langsung dalam segmen Jom Chat untuk bercerita lebih lanjut tentang lagu Kembalii.

“Kami memilih platform Jom Chat untuk ke udara secara langsung malam ini kerana keberkesanan segmen bual santai dalam membantu mempromosikan hasil kerja kami, sampai kepada sasaran,” kata Sam, vokalis Bunkface.

Menurut Sam lagi, peluang untuk muncul sebagai artis atau selebriti jemputan dalam Jom Chat, satu-satunya segmen bual santai atau talk show yang disiarkan secara langsung di portal berita, amat dihargai.

Katanya, para pelayar Utusan Online yang turut mengikuti Jom Chat pada setiap minggu, hari Rabu, pukul 9 malam sehingga 10 malam, menerusi Facebook Utusan Online, adalah medium terbaik yang diberi kepada para artis dan karyawan tempatan khususnya, untuk menguar-uarkan aktiviti seni mereka.

Tambahnya, menerusi platform Jom Chat, Bunkface dapat berinteraksi dan menyalurkan maklumat kepada para peminat yang bukan sahaja berada di Malaysia tetapi juga di negara-negara jiran.

“Nantikan Jom Chat malam ini bersama kami, Bunkface kerana single Kembalii mempunyai kisah disebalik pembikinannya,’’ kata Sam mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE