Dan bertemu pasangan romantis itu pada hujung minggu lalu, nyata kedua-duanya memang manja antara satu sama lain dan selalu berlemah lembut dalam berbicara. Tidak hairanlah andai kemunculan Nora Danish dan pasangannya, Mohamad Nedim Nazri-Aziz seringkali dinanti-nantikan peminat.

Terlihat keikhlasan dan kejujuran dalam hubungan yang dipupuk Nora-Nedim dan sepanjang perbualan, ralit melihat tingkah mereka sementelah Nora yang kini hamil tujuh bulan juga kelihatan begitu berseri-seri.

“Saya hanya bersikap jujur... tidak palsu jauh sekali ‘berlakon’,” kata Nedim yang mengakui suka ‘berkepit 24 jam’ dengan isterinya itu. Dan Nora juga tidak menafikan yang suaminya manja orangnya.

Disirami kasih sayang yang mekar mewangi, Nedim mengakui, dia mahu sentiasa di sisi Nora tidak kira di mana malah turut menyatakan rasa bertuah dan syukur kerana dianugerahkan seorang isteri yang bukan sahaja cantik tetapi juga pandai mengambil hati.

Empat tahun menjalin cinta sebelum berkahwin pada 30 Mac lalu, Nedim mengakui, adalah menjadi impiannya untuk kembali berumah tangga dan memiliki sebuah keluarga yang bahagia selepas ikatan perkahwinan terdahulu putus di tengah jalan.

“Isteri yang bahagia membuatkan hidup bahagia. Saya mahu menjadi suami yang lebih baik dan membahagiakan isteri dan keluarga saya.

“Saya juga sentiasa mengimpikan sebuah kehidupan berkeluarga yang penuh kasih sayang, sama seperti keluarga saya yang sentiasa bersama dan menyokong antara satu sama lain. Saya impikan keluarga yang begitu.

“Malah kerana kami pernah berpengalaman mengalami keruntuhan rumah tangga sebelum ini, kami banyak belajar. Belajar tentang toleransi, untuk tidak mengulangi perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan dan kasih sayang antara kami.

“Saya juga buat peraturan yang kami tidak akan masuk ke bilik tidur dengan perasaan marah. Saya tidak suka tidur dengan hati yang panas. Saya lebih senang selesaikan semua masalah dan tidur dengan perasaan tenang dan gembira,” kata Nedim.

Kata Nora pula: “Oleh kerana sebelum ini kami duda dan janda, kami cuba sedaya upaya untuk mengendalikan perkara dengan sebaik mungkin. Perkara kecil dan remeh temeh tidak perlu untuk diperbesar-besarkan sehingga bergaduh.”

Mahu perkahwinan kedua ini kekal hingga akhir hayat, baik Nedim mahupun Nora sentiasa berdoa dan bersyukur hubungan yang dianugerahkan kepada mereka ini.

“Saya tidak mahu bercerai lagi. Saya kini bahagia. Ada isteri yang cantik. Pergi kerja ada orang hantar sampai depan pintu, balik kerja ada yang sambut. Saya sentiasa menginginkan itu dan saya mendapatkannya kini.

“Nora melayan saya dengan sebaik-baiknya. Saya memujanya setiap hari. Dan saya dapat rasakan insya-Allah... hubungan saya akan kekal. Saya mempunyai keyakinan itu terhadap hubungan kami,” kata Nedim.

Hamil dan raih perhatian

Mengakui sukakan kecantikan dan menjaga keterampilan sebagai seorang selebriti popular, Nora juga menganggap pembawakan budak membuatkan dirinya berseri malah suami juga suka dan bangga melihat dia bergaya sekalipun sedang hamil.

Dan ditanya mengenai kegiatan seninya yang kelihatan ‘sepi’ sejak mendirikan rumah tangga, Nora berkata, dia akan menjadualkan semula aktiviti seni selepas bersalin kelak.

Pun begitu, Januari ini, filem lakonannya, Bukan Cinta Malaikat akan ditayangkan selain Makrifat Cinta pada Februari.

Baru sahaja melancarkan jenama Oh Most Wanted miliknya bersama-sama Nedim dan empat lagi rakan kongsi, Nora teruja berkongsi mengenai perniagaan itu yang kini telah memasuki tahun ketiga di pasaran.

“Pertama kali berkolaborasi dengan suami membangunkan perniagaan ini, banyak perancangan yang dirangka untuk meluaskan pasaran. Tahun ini kami merancang untuk menjengah pasaran luar Asia,” kata Nora yang turut memiliki perniagaan Kopi XOXO dan owlbyND.

Menanti detik 9 Mac

“KAMI tak dapat jelaskan bagaimana terujanya menantikan kelahiran bayi ini. Kami memang sentiasa mahukan anak secepat yang mungkin dan Alhamdulillah. Allah memakbulkannya selepas empat bulan berkahwin.

“Saya memang sukakan kanak-kanak dan mahu keluarga saya diceriakan dengan kehadiran anak-anak yang comel. Saya benar-benar bersyukur dengan rezeki ini. Teruja punya fasal, saya sudah membeli kelengkapan bayi sampai penuh bilik,” kata Nedim.

Nora juga berkongsi cerita tentang kejutan kehamilan dengan suami apabila menghadiahkan keputusan ujian kehamilan dengan nota ‘Hi Daddy! Can’t wait to see you. Xoxo, Your lil Neno 2018’ yang diletakkan dalam sebuah kotak.

Terkejut dengan berita gembira tersebut, Nora memberitahu, suami menangis saat membuka kotak dan membaca nota kecil yang disertakan itu.

“Saya memang mahukan anak malah kami turut mendapatkan nasihat doktor untuk memperoleh cahaya mata. Rupa-rupanya ketika itu Nora sudah mengandung tanpa kami mengetahuinya.

“Berita itu memang menggembirakan kami kerana masing-masing memang teringin nak anak sebab sudah lama tidak menimang cahaya mata,” kata Nedim.

Nora dan Nedim masing-masing mempunyai seorang anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu Putra Rayqal Rizal Ashram, 9, dan Nedrin, 6.

Nora memberitahu, kehamilan kali ini juga menyenangkan berbanding mengandungkan anak pertama dahulu.

“Mungkin juga kerana suami sentiasa ada di sisi membuatkan semua urusan tenang dan senang. Malah alahan juga kurang kecuali Nedim yang mengidam makan makanan Melayu pada awal kehamilan.

“Nasib baik dia pandai memasak. Apabila terasa nak makan saja, dia akan ke dapur. Dia memang pandai memasak,” puji Nora tentang suaminya itu yang sejak lebih dua lalu membuka restoran di Bangsar, Kuala Lumpur.

“Memasak umpama terapi buat saya,” kata pemilik restoran, Ninety Seven (N97) itu yang turut merancang untuk membuka cawangan di Vietnam atau Indonesia tidak lama lagi.

Nedim, ‘si budak nakal’

SAAT mengambil keputusan untuk menerima Nedim dalam hidupnya, Nora mengakui, dia menerima banyak komen dan nasihat termasuk mengenai Nedim yang dianggap ‘budak jahat’.

Namun Nora percaya dengan kata hatinya dan begitu bersyukur dipertemukan jodoh dengan lelaki tersebut malah kini begitu teruja menantikan kehadiran cinta hati mereka yang dijangka akan dilahirkan pada Mac depan.

“Masa bercinta dulu macam-macam orang kata tentang Nedim. Bad boy (budak jahat), sombong dan sebagainya. Tapi orang tak kenal dia. Orang tak kenal hati budinya.

“Sekarang dia jaga saya... berikan kasih sayang kepada saya. Habis kerja terus balik. Saya seorang gadis yang bertuah.

“Malah cara Nedim melayan isteri juga menjadi inspirasi kepada kawan-kawan rapat kami. Dia menunjukkan contoh yang baik,” kongsi Nora.

Nedim pula tidak kisah dengan pandangan skeptikal orang terhadap dirinya malah sejak lebih dua dekad menjadi anak kepada orang berpengaruh, sudah banyak fitnah ditelan dan dia tidak pernah terkesan dengan perkara yang remeh temeh.

“Saya tak kisah dikata ‘budak jahat’, sombong, angkuh kerana itu memberi ruang buat diri saya. Tapi apabila anda telah kenal dengan saya anda tahu saya bagaimana orangnya.

“Saya mempunyai seorang isteri yang sempurna pada mata saya. Saya percaya dirinya dan dia tidak pernah mengongkong saya malah terus memberi sokongan terhadap diri saya.

“Saya percaya itu penting dan saya juga sentiasa berharap dengan pengalaman masa lalu yang pernah kami lalui dalam berumah tangga, kami dapat mengendalikan hubungan kami dengan sewajarnya,” kata Nedim.

Solekan KHIR KHALID
Gambar KAKIFOTO